Jumaat, 25 Julai 2014

Teringat semasa dulu - SYAWAL DI KAMPUNG

Ni kisah Hari Raya la pulak selepas berkenang-kenangan di bulan Ramadhan, menyambut Hari Raya di kampung pada bulan Syawal pun ada kisahnya juga. Bagi kami yang masih dikategorikan sebagai budak-budak masa tu, Hari Raya adalah hari yang ditunggu-tunggu selepas sebulan berpuasa (puasa yang yok, bangun pagi bukak periuk) Heheheee...

"Balik kampoongg... oo... oo... ooo... balik kampoonggg..."

Tapi betul la... lagi sehari dua nak Raya, suasana meriah tu dah mula terasa. Masa inilah ayah aku akan mula mencari daun kelapa untuk dibuat ketupat dan buluh lemang. Mak sibuk di dapur buat kuih raya. Kuih Bahulu, Semprit, Putu Kacang, Batang Buruk dan macam-macam jenis lagi. Oleh sebab dalam keluarga kami lebih ramai perempuan, maka ramailah yang tolong mak. Kami yang lelaki ni tolong ayah potong buluh lemang, cari daun pisang dan sekali-sekala menyibuk di dapur jadi tukang kutip kuih yang tak jadi...

Dulu-dulu bakar bahulu guna tempurung kelapa. Wangi je bahulu tu. Masih terbau-bau lagi asap dari tempurung dan sabut kelapa tu. Selepas siap semua kuih mak susun dan simpan dalam almari buruknya. Selalunya mak akan buat kuih semprit lebih sikit untuk kami, sebab aku paling suka kuih semprit yang mak buat. Selepas aku berhijrah dan bekerja di luar pun mak masih buat kuih semprit untuk aku bawa pulang selepas Hari Raya. Cuma sekarang ni dah takde kuih semprit mak lagi. Mak banyak beli je kuih-kuih ni kat pasaraya. Mak dah tak larat lagi nak buat kuih dan bermain asap membakar bahulu. Walaupun dia tak buat kuih semprit lagi, dia tetap bekalkan aku dengan kuih semprit yang dia beli tu. Aku makan jugak, tapi rasanya dah tak sama dengan yang mak buat.

"Jom... sapa nak balik kampung... buleh tumpang!"

Lemang pun ayah dah tak membakar lagi macam dulu. Dengan usia yang semakin lanjut, mana mungkin orang tua tu larat nak membakar dan bermain api lagi. Kalau dulu semua bergotong royong membakar dan menjaga lemang-lemang tu hingga ke malam. Berpuluh-puluh batang akan dibakar dan berkongsi bersama jiran sebelah-menyebelah. Sekarang ni bila balik kampung tengok orang bakar lemang tepi jalan, teringat semasa dulu-dulu yang lemang ni dibuat untuk makan sendiri, takde pun orang buat lemang semata-mata untuk berjualan. Kaum ibu pulak sibuk mengacau dodol hingga ke senja. Lepas buka puasa kami makan dodol yang masih panas beralaskan daun pisang... aduhai, wanginya dodol masa tu. 

Malam pulak adik beradik perempuan sibuk gantung langsir baru, tukar alas meja baru, masukkan kuih dalam bekas kuih dan seterika baju raya. Dulu pakai seterika lama guna bara dari tempurung kelapa. Selalunya kakaklah yang jadi tukang gosoknya, kami adik-beradik akan tunggu giliran bila baju raya masing-masing akan digosok oleh kakak. Oleh sebab adik-beradik ramai, baju kakaklah yang paling akhir digosok sehingga habis bara tempurung kelapa tu. Kesian kakak.

Ada satu lagi kenangan yang tak boleh aku lupa di malam raya. Acara menggantung kad raya. Petangnya ayah akan cari ranting pokok dan akan diletakkan di sudut rumah. Kad raya akan diikat dengan benang dan akan diikat pula pada ranting-ranting tu. Nampak rendang je kad-kad raya yang bergantungan tu. Selalunya kad raya ayah dan kakaklah yang paling banyak. Kad raya dulu-dulu ada yang gambar kucing dan bunga-bungaan. Ada jugak kad raya yang ada muzik... tapi tak banyak dan masih mahal time tu, sapa yang dapat kad raya jenis ni memang kembang idung la. Pada ranting kad raya tu ayah akan lilitkan dengan lampu lip-lap berwarna-warni. Itulah kali pertama aku melihat lampu lip-lap yang dibeli oleh ayah di Pekan Slim River. Kad raya sekarang bersepah dalam dunia maya ni. Klik je nak design dan lagu macam mana. Hantar je guna hujung jari... mudahkan?

Malam tu pulak kami akan berlonggok depan TV nak tunggu pengumuman raya oleh Penyimpan Mohor Besar. Masa tu TV hitam putih yang jenis pusing-pusing kalau nak cari channelnya. Aku masih ingat lagi bila adik aku hampir dilempang oleh kakak sebab masa pengumuman dibuat, adik aku tutup TV tu dengan menekan suis tepi almari. Bila on semula TV tu channel dah lari... dan adik aku lari laju-laju turun ke bawah menuju ke rumah jiran sebelah. Kakak aku dah amuk! Tapi yang best, esok dah raya! Kami sambung balik main meriam buluh. Berdentum-dentum bunyi meriam malam tu. Ayah dah bersiap kerana mereka akan bertakbir dari rumah ke rumah...  Kami? hahahahaaa... baju raya dah ada, kasut raya dah ada... aku akan letakkan di atas katil dan tidur bersama-sama mereka. Selalunya tak lena pun tidur... tidur-tidur ayam sebab tak sabar nak tunggu esok. 

"Fireeee!!"

"Main meriam betul la kalau berani!"

Pagi Hari Raya... Wah, masing-masing idung kembang dengan baju dan kasut baru. Walaupun tak cukup tidur, tapi takde pun rasa mengantuk. Lepas sembahyang sunat Aidil Fitri dan bermaaf-maafan dengan mak dan ayah, kami memulakan operasi mengutip duit raya. Maklumlah, duit raya kena cari sendiri. Mak dan ayah tak kasi, dan kami pun tak pinta sebab faham dengan keadaan dan kehidupan dulu yang serba kekurangan. Duit raya time tu paling sikit 10 sen atau 20 sen. Tu pun dah bersyukur sangat. Hanya beberapa buah rumah saja yang bagi 50 sen. Selalunya kawan-kawan yang lain akan bagitahu mana rumah yang bagi duit raya 50 sen tu. Dan kami akan serang dengan hati girang!

Bagi tuan rumah yang agak berada sikit, merasalah kami minum air oren dalam botol tu. Dan kawan-kawan lain yang mula-mula ke rumah tu akan roger kami. Apalagi... kembunglah perut berisi air gas. Ketupat dan rendang dah tak pandang lagi. Kuih raya? Pandang sepi je. Lepas kutip duit raya kami ke rumah sebelah pulak, begitulah seterusnya hingga ke petang... kalau diikutkan takdelah banyak mana hasil yang aku dapat, tapi keseronokan dan kemeriahan menyambut Syawal di kampung mengatasi segala-galanya...

Sekarang ni pun balik kampung dah takde sangat kad raya, pelita raya, kuih raya, bakar lemang dan kacau dodol macam dulu-dulu. Walaupun ada sikit aktiviti, namun kemeriahan tak terasa sangat. Biasa-biasa je... Budak-budak generasi baru kat kampung aku pun dah takde nak main meriam sangat, dah takde nak meredah hutan cari buluh dan kelapa sawit kering buat lampu. Walaupun tak semeriah dulu, sekurang-kurangnya kami masih ada orang tua yang setia menyambut kepulangan kami di desa tercinta... 

"Woi! Seronok sangat apahal, posa tak habih lagi laaa!"

Selamat Hari Raya kepada pembaca semua, Maaf Zahir & Batin dari aku sekeluarga!
(Err... bersalaman tu cukup jari tak?)

Isnin, 21 Julai 2014

Teringat semasa dulu - RAMADHAN DI KAMPUNG

Bila umur dah semakin meningkat ni, maka banyak jugaklah kenangan-kenangan lalu bermain di minda. Nak pulak time Bulan Ramadhan ni. Ingatan aku mula mengimbau kenangan semasa di kampung...

Guna gambar anak aku je la... (ni pun macam aku jugak masa kecik-kecik dulu)
Lokasi: Di sebuah perkampungan Felda, Perak Darul Ridzuan. Oleh sebab kedudukan rumah di atas-atas bukit, waktu pagi suasananya berkabus sambil diiringi kicauan burung (ewahh)!

Seronoknya menyambut Bulan Ramadhan sekitar tahun 70 an - 80 an dulu. Walaupun hidup tak semewah mana, namun makanan yang sedap dan rezeki yang melimpah ruah sentiasa ada. Petang-petang selepas Asar mak dah duduk di dapur dah. Ada saja kuih yang dibuatnya untuk berbuka nanti. Dan kami akan berlonggok di kelilingnya jadi tukang sibuk dan tukang rasa. Selalunya adik-adik yang masih kecik yang jadi tukang rasa. Kuih yang paling sedap masa bulan posa time tu ialah Kuih Cara dan Buah Melaka. Sekarang ni nak kuih semua dah ada depan mata. Bermacam-macam jenis dan rasa... cuma tak sama macam mak kita buat.

Tolong buat kuih Buah Melaka... 

Budaya bertukar juadah masa kat kampung dulu memang meriah. Bayangkan sekurang-kurangnya 10 keluarga akan bertukar juadah, bayangkan pulak berlainan lauk dan kuih dapat kita merasa semua hasil pertukaran tersebut. Dulu aku dan adik akulah yang jadi tukang hantarnya. Kadang-kadang terhantar dua kali di rumah yang sama.

Malamnya pulak main mercun dan bunga api selepas buka puasa dan sembahyang terawih. Dulu takde lagi mercun bola. Yang ada cuma mercun papan yang kecik-kecik tu. Bunyi pun tak kuat mana. Kalau tak sempat baling pun jari takkan hancur kalau meletup di tangan, cuma rasa kebas-kebas je. 

Bunga Api Cap Kucing dulu-dulu apinya kembang besar bila dicucuh. Kami akan bengkokkan besi pemegangnya dan lambung atas pokok. Cantik bercahaya sekejap bila dah tersangkut banyak-banyak atas pokok tu. Ada yang tersalah baling landing atas bumbung rumah... tapi takdelah sampai rumah terbakar.

Oleh sebab mercun susah nak beli masa tu (sebenarnya takde duit nak beli), kami main meriam buluh je. Masuk hutan cari meriam buluh time posa ni memang mencabar, dengan miangnya dengan dahaganya semua cukup. Bila dah dapat buluh-buluh tu, bergotong royong la buat meriam. Malam pulak, berlawan dengan orang kampung sebelah. Meletup punyalah kuat, kalah mercun bola!

Main meriam... ni meriam pakai tin ridsect atau tin cat... bunyi kuat jugak tak padannya kecik!

Bunga api yang apinya tak berapa nak kembang

Zaman sekarang ni lagi ngeri tengok budak-budak main mercun dan bunga api. Lagi kreatif depa buat mercun sendiri. Bubuh belerang dalam besi. Waaahh... setiap tahun ada yang bersalaman tak cukup jari!

Satu lagi yang tak boleh lupa, pelita raya. Dulu kami buat dengan buluh atau tin sahaja. Tebuk lubang banyak-banyak, letak kain buruk buat sumbu. Pelita raya kami ni ada yang panjang dan pendek. Boleh buat bertingkat-tingkat lagi. Masa tu seluruh jalan dan rumah terang benderang dengan pelita raya ni. Apinya tak dipadamkan. Biar je menyala sampai subuh esok, maklumlah... minyak tanah masih murah. Aku ingat lagi bila nak mula buat pelita raya ni, ayah aku dah beli siap-siap dah minyak tanah ni. Minyak tu diisi dalam tin biskut empat segi yang besar tu. Selalunya pelita raya dipasang selepas 15 hari berpuasa.

Haa, ada satu lagi cerita bab main api ni... oleh sebab aku dibesarkan di perkampungan Felda, buah sawit yang reput pun boleh dijadikan api. Kami akan mengutip buah kelapa sawit yang kering pada sebelah pagi di ladang sawit belakang rumah. Buah sawit kering tu akan diracik-racik, dikumpulkan di halaman rumah dan ditimbunkan (macam kita nak bakar sampah). Satu timbunan tu lebih kurang sebaldi kecik kelapa sawit kering tu. Lepas buka puasa baru dinyalakan. Satu rumah ada lapan timbunan. Oleh sebab rumah-rumah di kawasan Felda ni di buat sebelah-menyebelah sehingga 30 buah rumah, bila dah ramai-ramai bakar kelapa sawit kering tu nampak meriah la. Selalunya jangka hayat api pada kelapa sawit kering ni ialah selama 3 jam lebih. Esok pagi mulalah kakak-kakak membebel sebab nak kena menyapu abu dan arang di halaman rumah.

Gambar hiasan - Buah kelapa sawit masak

Sekarang ni pelita raya dah banyak dijual kat pasaraya. Pilih je nak yang plastik atau tin. Anak aku teringin jugak nak pasang pelita raya kat rumah bila aku ceritakan kisah ni. Tapi tak praktikal la pulak pasal kami tinggal di rumah flat. Alih-alih aku beli je lampu lip-lap yang berwarna-warni tu... tapi takde feel la. Lama-lama tengok boleh pening!

Pelita raya sekarang

Dulu nak berbelanja kena la cari duit sendiri. Cuti sekolah masuk kebun sawit kutip buah sawit relai. Walaupun di bulan puasa, semangat nak beli selipar raya makin menebal dalam diri. Dah dapat tujuh lapan guni sawit relai, mintak ayah tolong angkut bawa ke tempat jualan. Lapan guni dapatlah RM40. Betapa besarnya RM40 masa tu, jadilah orang kaya sekejap. Paling aku tak boleh lupa ialah masa aku darjah lima sekitar tahun 80-an tak silap aku. Semua ladang sawit diserang kumbang tanduk! Habih semua pokok sawit nak mati sebab kumbang tanduk ni akan makan pucuk dia dan bertelur di dalam tanah berhampiran perdu pokok sawit ni. Jadi, operasi memusnahkan telur-telur kumbang tanduk ni pesat dijalankan. Cari telur kumbang tanduk dalam tanah, kumpulkan dan jual kepada pihak Felda untuk dimusnahkan.

Ladang sawit ayah

Ini berita baik bagi kami sebab harga yang dibeli ialah RM4 sekilo. Aku masih ingat juga dalam seminggu cuma sehari sahaja aku ke sekolah termasuk kawan-kawan dan adik-adik aku. Cikgu pun tak boleh kata apa sebab time tu dah macam darurat dah! Kami banyak habiskan masa di ladang mencari telur kumbang tanduk! Kami akan cungkil tanah tu dengan buluh yang ditajamkan atau guna cangkul kecik untuk cari telur tu. Pagi pergi ladang dan sebelah petang terus ke pejabat Felda untuk jual telur tu. Dalam sehari kami boleh kumpulkan 5kg telur kumbang. Bila tiba hari raya, ramailah di antara kami yang pakai baju baru, selipar baru dan songkok baru.

Kasut raya

Berbuka puasa di masjid pun best jugak. Ramailah bebudak macam kami ni suka berbuka di masjid walaupun bukan setiap hari. Menunya aku masih ingat sampai sekarang. Yang paling sedap nasi minyak dengan ayam masak merah. Walaupun hidangannya ala kadar sahaja tapi air sirapnyalah yang paling sedap dalam dunia ketika itu. Walaupun pencuci mulutnya hanya buah tembikai, manisnya terasa-rasa hingga hari ini. Yang paling ditunggu oleh kami ialah moreh selepas habis Sembahyang Terawih (kadang-kadang tak sembahyang terawih pun - Main mercun katak sekitar masjid). Juadah moreh pun bukanlah mewah mana... sekadar kuih-muih, meehoon goreng dan kopi O... Lepas habis moreh baru balik ke rumah. Nak berjalan malam pun tak takut, sementara nak sampai ke rumah jalan dah terang dengan pelita raya di setiap rumah.

Kalau nak diingatkan semua kenangan-kenangan ni aku jadi terharu sendiri. Terkenang kawan-kawan, pakcik dan makcik yang dah pergi dulu dari aku, bersyukurlah kerana masih dapat mengecapi Ramadhan lagi, bersyukur juga kerana bukan semua dapat merasa umur macam aku sekarang ni... Harap ada lagi kesempatan seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Sekian adanya...

Rabu, 9 Julai 2014

Pergi CERAMAH

Majlis Ceramah Perdana tempohari di Felda Residence Hot Springs, Perak. Ramai jugak yang datang dengar ceramah dari Ustaz Kazim Elias ni. Aku yang ditugaskan untuk mengambil gambar sempena majlis tersebut pun terpana kejap dengar ceramah dia... memang bestlah.

Banner

Ceramah sempena kedatangan Ramadhan dianjurknan oleh Old Cliffordian - Clifford School Kuala Kangsar, Perak. 

Ustaz dah sampai

Masuk ke dewan

 Member Office - Promosikan Pakej Umrah

 Hadirin dalam dewan

Hadirin luar dewan - ada skrin besar diletakkan

 Ceramah

 Ceramah

 Hadirin

Abang Video

 Bergambar kenangan dengan pihak penganjur

 Bergambar kenangan dengan kakitangan Felda Residence Hot Springs

Errr... bergambar kenangan dengan Ustaz Kazim. Terima kasih Ustaz!

Program tamat sekitar 11.30 malam... inilah kali pertama aku dengar ceramah secara live. Rupanya dia punya feel berlainan dengan ceramah yang kita lihat atau dengar di TV. Alaa... macam orang tengok perlawanan bolasepak, lagi feel bila tengok di stadium... pendapat aku la. Sekian, wasallam...

Jumaat, 4 Julai 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 09) - SELAMAT TINGGAL TANAH SUCI

Hari Jumaat - Hari ini adalah hari terakhir kami di Mekah. Sampai masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Kota Mekah. Sebelum berangkat pulang, kami akan melakukan Tawaf Wida' atau Tawaf Selamat Tinggal. Kami bertawaf selepas solat Subuh memandangkan bas akan mengambil kami pada pukul 9.00 pagi untuk menuju ke Jeddah. Nampaknya tak sempatlah kami nak bersolat Jumaat di Mekah. Perjalanan dari Mekah ke Jeddah lebih kurang 2 jam. Penerbangan kami dari Jeddah ke Abu Dhabi pada pukul 4.30 petang. Kalau ikutkan banyak masa lagi, tapi memandangkan urusan Imigresen di Jeddah nanti yang mungkin mengambil masa yang lama, eloklah berangkat awal. Kami akan bersolat Jumaat di Airport Jeddah sahaja. 

Selepas selesai melakukan Tawaf Wida' dan mengambil beg, masing-masing berkumpul di lobi untuk urusan check out dan taklimat akhir oleh Ustaz Kusyairy. Selepas Tawaf Wida' kami diingatkan supaya segera bersiap dan tidak mengambil gambar lagi. Maksudnya selepas Tawaf Wida', tak boleh melakukan urusan lain... Sedihnya hati nak meninggalkan Kota Mekah. Bas meluncur laju meninggalkan Kota Suci ini... dari jauh sayup-sayup menara Masjid Masjidil Haram hilang dari pandangan.

Dalam perjalanan ke Jeddah, kami berhenti rehat di Masjid Terapung. Masjid terapung itu atau nama lainnya Masjid Siti Rahmah. Letaknya di hujung Barat Laut Merah, Jeddah. Selain dari keindahan binaannya, keindahan lain masjid ini adalah kerana ianya terletak mengadap Laut Merah. Masjid ini berkeluasan sekitar 20 x 30 meter. Cuaca memang panas sangat, hampir 42 darjah celcius. Layan gambar kejap sekitar Masjid Terapung ni.

 Masjid Terapung dari jauh

Cuaca panas hari tu, sebutir awan pun takde

Menuju ke masjid

Masjid terapung dari dekat

Aku pun tak beria sangat nak ambil gambar, cuma tinjau-tinjau sekejap terus lari duduk kat pondok. Panas sangat sampai menyengat kepala. Serius cakap laa... aku memang tak tahan dengan cuaca panas macam ni. Dalam dok merungut tu terbayang jugak camana panas kat Padang Masyar nanti ya...

Pondok rehat. Sambil makan dan minum bekalan yang dibungkuskan oleh pihak Felda Travel. Time ni pukul 11 pagi, bestnya makan di tepi Laut Merah...

Makan-makan sambil berborak. Time ni memasing dah tak sabar dah nak balik Malaysia

Ada orang berjualan di sekitar kawasan masjid ni. Selamba je dok tengah panas

Yang hijau tu kurma muda. Rasanya pahit-pahit kelat sikit. Baik untuk mengubati kencing manis dan darah tinggi. Boleh tahan mahal jugak dijual

"Bakso bang! Bakso bang!"
Terkejut aku, ada jual bakso jugak!

 Bergambar kenangan dengan Ustaz Samsul - Mutawwif Felda Travel

Selepas berehat lebih kurang, kami berangkat ke Jeddah. Sampai di Jeddah urusan bagasi diuruskan oleh petugas yang dilantik. Semua berjalan lancar tak seperti masa mula-mula sampai hari tu. Selepas bersolat Jumaat di sini kami mula check in dan akan menaiki pesawat ke Abu Dhabi jam 4.30 petang. Syukur kepada Allah SWT kerana memudahkan segala urusan pergi dan balik, sihat tubuh badan walaupun mengalami demam dan batuk namun kami masih diberi kudrat untuk berjalan dan melakukan ibadat di Tanah Suci ini...

Kapal terbang sedang menunggu

Masing-masing dah kepenatan

Tepat 4.30 petang kami mula memasuki pesawat untuk berlepas ke Abu Dhabi. Sampai di Abu Dhabi jam 8.30 malam. Transit 6 jam di Abu Dhabi kerana pesawat seterusnya ke Kuala Lumpur jam 2.30 pagi. Amacam? Lama tak? Tapi kebanyakan jemaah aku tak kisah sangat pun. Masa panjang yang ada ni kami gunakan sebaiknya untuk berehat dan bersolat. Aku yang tidur-tidur ayam kononnya, hampir jugak terlelap. Nasib baik pakcik sebelah yang kejutkan...

Di Lapangan Terbang Abu Dhabi

Alhamdulillah... sampai di KLIA jam 2.30 petang selepas melalui penerbangan yang panjang. Sampai di KLIA Ustaz Azizi, Haji Rizal dan Syira (Staf Umrah/Haji Felda Travel) dah menunggu aku. Sempat lagi mengopi kat Pelita Nasi Kandar sebelum sampai ke office. Nikmatnya dapat minum Nescafe O ais dengan roti canai kari mamak. Dua keping aku bedal... hahahahaaa... kebetulan perut tengah lapar...

Sampai sekarang aku masih teringat-ingat lagi Tanah Suci ni. Insyaallah... jika dikurniakan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki aku pasti ke sana lagi. Terima kasih kepada Pihak Pengurusan Felda Travel yang memberi kepercayaan kepada aku untuk menguruskan jemaah Umrah pada bulan Mei yang lalu. Kepada jemaah yang terbaca blog aku ni aku ingin memohon maaf jika ada kesilapan, kekurangan dan terlanjur kata sepanjang kita berada di sana. Jika ada umur panjang kita akan berjumpa lagi...

Selamat Tinggal Masjid Nabawi

Selamat Tinggal Mekah Almukarramah...

Insyaallah... aku akan datang lagi bermunajat di Bumi Sucimu...

Selasa, 1 Julai 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 08) - ZIARAH MEKAH

Selesai sudah Umrah Wajib, kami dibawa melawat di luar Kota Mekah. Namun jemaah boleh juga untuk melakukan Umrah Sunat mahupun Umrah untuk arwah keluarga masing-masing, terpulang kepada kemampuan dan niat masing-masing. Program ziarah kami meliputi Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Muzium Mekah dan kawasan penempatan jemaah Haji seperti di Padang Arafah, Mudzalifah dan Mina. Bagi jemaah yang ingin melakukan Umrah Sunat akan bermiqat di Ja'aranah. Jadi dari hotel lagi mereka akan memakai ihram.

 Cuaca panas dan berangin

 Bergambar kenangan

 Jabal Rahmah - terletak di Padang Arafah. Tempat pertemuan Nabi Adam AS dan Hawa.
Mana yang masih bujang boleh berdoa agar dipertemukan jodoh. Namun harus diingat, jodoh itu ketentuan Allah bukan sebab berdoa di Jabal Rahmah maka jodoh kita akan datang dengan segera - itu pesan Mutawwif kami

 Ramai yang naik ke atas. Aku hanya tunggu di bawah bersama Mutawwif

 Papan tanda dalam Bahasa Malaysia - ada peringatan penting dicatatkan

 Berteduh di sebalik tiang

 Bergambar kenangan sementara menunggu sebahagian jemaah turun dari Jabal Rahmah

 Lembu yang makan kurma

 Bergambar lagi

Kami melalui Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah yang menjadi tempat penempatan bagi Jemaah Haji nanti. Kami hanya melihat dari dalam bas sahaja. Gambar pun aku tak sempat nak snap sebab teruja melihat kawasan tu. Jika musim Haji nanti akan penuhlah dengan manusia dari pelusuk negara yang akan berkampung di situ

 Sampai di Masjid Mekah

 Muzium Mekah dari depan

Sebenarnya bukan senang nak masuk ke sini. Kena dapat keizinan dari pihak kerajaan Arab Saudi dulu. Bergantung pada arrangement Travel Agent masing-masing. Dan tempoh lawatan hanya setengah jam sahaja kerana ruang dalamnya yang sempit. Selepas setengah jam kita diarahkan keluar kerana group lain pula akan mengambil giliran. Jadi, tak banyaklah gambar yang aku ambil

 Mekah di masa akan datang. Nampak semua berbumbung

 Tangga lama untuk masuk ke dalam Kaabah

 Ambik gambar sendiri je pakai timer

 Mekah zaman dulu-dulu

 Bingkai lama yang mengikat Hajarul Aswad

 Pintu Kaabah

 Gambar lama Kaabah

 Gambar lama Kaabah

 Al Quran tulisan tangan

 Ramainya orang. Bersesak jugaklah

 Dah nak keluar Muzium. Di pintu keluar kita akan disedekahkan senaskhah Al Quran. Alhamdulillah...

Di depan Muzium

Lawatan kami ke Ladang Unta terpaksa dibatalkan kerana ditakuti akan terkena virus Mers. Sekarang ni tengah heboh pasal wabak ni, kami pun tak nak ambil risiko. Takpelah tak dapat tengok unta ataupun merasa susu unta, kami dah berpuas hati dengan lawatan-lawatan di tempat lain sekitar Madinah dan Mekah. Di sepanjang jalan di Mekah ni memang tak kelihatan seekor unta pun. Banyak ladang-ladangnya dah ditutup. Menurut Mutawwif kami, unta-unta tersebut akan dilupuskan atau dipindahkan ke tempat lain yang penduduknya sendiri tak tahu di mana letakknya. eloklah tu, sebagai langkah berjaga-jaga...

Masjid di Ja'aranah. Jemaah yang ingin melakukan Umrah Sunat boleh bermiqat di sini. Di sekeliling masjid ramai orang berjualan. Selepas sembahyang sunat aku melihat-lihat barangan cenderahati. Harga di sini mahal sikit jika nak dibandingkan dengan yang dijual di Mekah dan Madinah

Tamat program Ziarah kami hari ini bermakna kami akan meninggalkan Kota Mekah esok. Sebelum meninggalkan Mekah kami akan melakukan Tawaf Wida' atau Tawaf Selamat Tinggal. Sedihnya hati nak meninggalkan Kota Suci ini...

Bersambung...