Inilah nenek. Nenek yang paling baik hati. Nenek orang rumah aku. Secara tak langsung walaupun aku adalah menantu di kalangan mereka, namun dia selalu cakap... aku pun cucu dia jugak. Banyak cerita dari pengalamannya ku kutip menjadi pengajaran dalam hidupku. Setiap kelapangan, kami selalu menjenguk nenek... kenapa kami suka balik rumah nenek?
Rumah nenek punyai halaman yang luas dari tepi hingga ke belakang rumahnya. Budak-budak, cucu-cucu sehingga bapak budak bebas berlari bermain bola
Sebelah rumah nenek dipayungi pohon kelapa yang tinggi sayup membuai bila ditiup angin
Pokok-pokok kelapa inilah menjadi medan latihan anak-anak aku belajar memanjat pokok. Maklumlah, tinggal di hutan batu Kuala Lumpur ni mana ada peluang nak merasa macam ni. Pokok kelapa setinggi ni, mana boleh nak panjat hingga ke atas... gayat!
Bila petang-petang boleh bakar sampah... peluang inilah diambil oleh bebudak ni untuk main api... ada saja bahan yang dibakar, sapu daun kering keliling rumah nenek nak bakar sampah katanya... kekadang habih serumpun pokok serai nenek terbakar sama... nenek tak marah pun... nenek senyum saja
Belakang rumah nenek pulak ada dusun durian. Macam-macam jenis durian ada. Biasalah bila dah ramai kat rumah nenek, sapa cepat dulu dapat cari durian yang gugur tu dialah yang punya... tapi selalunya bila aku balik, nenek dah simpan siap-siap untuk aku kat bawah dapur
Kat sebelah pokok durian ada sepohon dua pokok manggis, bila berbuah lebat sampai tak larat nak makan. Aku suka panjat pokok manggis sebab dia ada dahan banyak. Bila dah sampai ke atas, goncang je dahan tu. Berterabur la buahnya jatuh, anak aku cukup seronok kutip manggis, boleh makan fresh dari pokok
Rumah nenek juga ada pokok jering. Sejak kenal dalam keluarga nenek, merasalah aku makan gulai jering tua yang dimasak bersama terung pipit. Jering muda jugak sedap bila dicicah dengan sambal bacang
Bila balik ke kampung nenek, belakang rumah nenek jugalah tempat bermain anak-anak aku dengan sepupu-sepupu dia... main kombat, main nyorok-nyorok, berlari-lari mengelilingi dusun nenek
Bebasnya main di rumah nenek... kadang-kadang tak ingat waktu nak makan... main sampai petang, dah nak maghrib baru semua sibuk nak mandi... bilik air nenek kecik je, terpaksalah tumpang mandi kat rumah anak nenek yang lain
Time makannya pulak mengalahkan kenduri... semua pakat bergotong royong kat dapur. Maklumlah bila dah semua ada, memasak dah tak pakai kuali kecik lagi. Kena pakai kawah... masak gulai lemak ayam kampung dengan nangka satu kemestian...
Ulam-ulamannya pun semua ada, petik je belakang rumah nenek. Semuanya hasil tangan nenek yang rajin bercucuk tanam
Sejak kenal neneklah, aku kenal rendang ayam kampung dengan pucuk ubi ni. Menu ni top masa hari raya je. Entah kenapa aku suka sangat dengan menu ni. Mungkin rendangnya berlainan dari yang selalu aku makan...
Anak-anak aku bila dah berjumpa sepupu sepapat memang main tak ingat dunia dah... nenek pun senyum tengok gelagat diorang
Mana yang minat bergambar tu bolehlah cari port yang menarik untuk berposing. Belakang rumah nenek jugaklah tempat diorang bergambar di sebalik bunga lalang
Yang nak main hujan, mainlah... nenek tak larang pun. Nak melompat pun, melompatlah... nenek senyum saja... nenek suka bila melihat kami semua gembira bila balik rumah dia... makan apa yang ada, masaklah apa yang boleh dijadikan lauk... nenek tak berkira pun...
Mainlah celah belukar mana pun... nenek tak kisah... bila aku marah pada mereka, nenek kata, biarlah... bukan selalu berjumpa...
Namun sekarang tiada lagi suara nenek menasihati kami, tiada lagi senyum nenek menyambut kedatangan kami... dusun nenek belakang rumah dah makin lebat belukarnya... pokok-pokok durian nenek semuanya dah gugur daun-daunnya ke bumi... pokok rambai, langsat, manggis dan jering nenek banyak dah nak jadi ranting kering... pokok kelapa yang selama ini gah memayungi tepi rumah nenek dah hilang pucuk hijaunya, hanya tinggal batangnya menunggu masa mereput dari atas ke bawah
Buat arwah nenek yang telah kembali ke rahmatullah pada 01 June 2013 yang lalu, hanya kenangan bersamanya masih menemani aku. Arwah nenek pergi ketika usianya 82 tahun akibat kanser paru-paru tahap 4 yang baru dapat dikesan pada hujung bulan Mei 2013 yang lalu.
Sampai sekarang aku masih teringat arwah nenek kerana dari dialah aku belajar banyak perkara. Sambil-sambil aku mengurut tangannya, waktu itulah banyak cerita dan nasihat keluar dari mulutnya. Memang kebiasaan bila balik ke rumah arwah nenek, aku suka mengurut tangan dan bahunya. Walaupun aku sekadar menantu dalam keluarga mereka, namun arwah nenek sayang aku sama macam dia sayang cucu-cucunya yang lain. Arwah nenek selalu berpesan jangan lupa sembahyang dan selalulah balik walaupun dia dah tak ada...
(Gambar kenangan Hari Raya 2012)
Buat arwah nenek... semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Al Fatihah...