Jumaat, 25 Julai 2014

Teringat semasa dulu - SYAWAL DI KAMPUNG

Ni kisah Hari Raya la pulak selepas berkenang-kenangan di bulan Ramadhan, menyambut Hari Raya di kampung pada bulan Syawal pun ada kisahnya juga. Bagi kami yang masih dikategorikan sebagai budak-budak masa tu, Hari Raya adalah hari yang ditunggu-tunggu selepas sebulan berpuasa (puasa yang yok, bangun pagi bukak periuk) Heheheee...

"Balik kampoongg... oo... oo... ooo... balik kampoonggg..."

Tapi betul la... lagi sehari dua nak Raya, suasana meriah tu dah mula terasa. Masa inilah ayah aku akan mula mencari daun kelapa untuk dibuat ketupat dan buluh lemang. Mak sibuk di dapur buat kuih raya. Kuih Bahulu, Semprit, Putu Kacang, Batang Buruk dan macam-macam jenis lagi. Oleh sebab dalam keluarga kami lebih ramai perempuan, maka ramailah yang tolong mak. Kami yang lelaki ni tolong ayah potong buluh lemang, cari daun pisang dan sekali-sekala menyibuk di dapur jadi tukang kutip kuih yang tak jadi...

Dulu-dulu bakar bahulu guna tempurung kelapa. Wangi je bahulu tu. Masih terbau-bau lagi asap dari tempurung dan sabut kelapa tu. Selepas siap semua kuih mak susun dan simpan dalam almari buruknya. Selalunya mak akan buat kuih semprit lebih sikit untuk kami, sebab aku paling suka kuih semprit yang mak buat. Selepas aku berhijrah dan bekerja di luar pun mak masih buat kuih semprit untuk aku bawa pulang selepas Hari Raya. Cuma sekarang ni dah takde kuih semprit mak lagi. Mak banyak beli je kuih-kuih ni kat pasaraya. Mak dah tak larat lagi nak buat kuih dan bermain asap membakar bahulu. Walaupun dia tak buat kuih semprit lagi, dia tetap bekalkan aku dengan kuih semprit yang dia beli tu. Aku makan jugak, tapi rasanya dah tak sama dengan yang mak buat.

"Jom... sapa nak balik kampung... buleh tumpang!"

Lemang pun ayah dah tak membakar lagi macam dulu. Dengan usia yang semakin lanjut, mana mungkin orang tua tu larat nak membakar dan bermain api lagi. Kalau dulu semua bergotong royong membakar dan menjaga lemang-lemang tu hingga ke malam. Berpuluh-puluh batang akan dibakar dan berkongsi bersama jiran sebelah-menyebelah. Sekarang ni bila balik kampung tengok orang bakar lemang tepi jalan, teringat semasa dulu-dulu yang lemang ni dibuat untuk makan sendiri, takde pun orang buat lemang semata-mata untuk berjualan. Kaum ibu pulak sibuk mengacau dodol hingga ke senja. Lepas buka puasa kami makan dodol yang masih panas beralaskan daun pisang... aduhai, wanginya dodol masa tu. 

Malam pulak adik beradik perempuan sibuk gantung langsir baru, tukar alas meja baru, masukkan kuih dalam bekas kuih dan seterika baju raya. Dulu pakai seterika lama guna bara dari tempurung kelapa. Selalunya kakaklah yang jadi tukang gosoknya, kami adik-beradik akan tunggu giliran bila baju raya masing-masing akan digosok oleh kakak. Oleh sebab adik-beradik ramai, baju kakaklah yang paling akhir digosok sehingga habis bara tempurung kelapa tu. Kesian kakak.

Ada satu lagi kenangan yang tak boleh aku lupa di malam raya. Acara menggantung kad raya. Petangnya ayah akan cari ranting pokok dan akan diletakkan di sudut rumah. Kad raya akan diikat dengan benang dan akan diikat pula pada ranting-ranting tu. Nampak rendang je kad-kad raya yang bergantungan tu. Selalunya kad raya ayah dan kakaklah yang paling banyak. Kad raya dulu-dulu ada yang gambar kucing dan bunga-bungaan. Ada jugak kad raya yang ada muzik... tapi tak banyak dan masih mahal time tu, sapa yang dapat kad raya jenis ni memang kembang idung la. Pada ranting kad raya tu ayah akan lilitkan dengan lampu lip-lap berwarna-warni. Itulah kali pertama aku melihat lampu lip-lap yang dibeli oleh ayah di Pekan Slim River. Kad raya sekarang bersepah dalam dunia maya ni. Klik je nak design dan lagu macam mana. Hantar je guna hujung jari... mudahkan?

Malam tu pulak kami akan berlonggok depan TV nak tunggu pengumuman raya oleh Penyimpan Mohor Besar. Masa tu TV hitam putih yang jenis pusing-pusing kalau nak cari channelnya. Aku masih ingat lagi bila adik aku hampir dilempang oleh kakak sebab masa pengumuman dibuat, adik aku tutup TV tu dengan menekan suis tepi almari. Bila on semula TV tu channel dah lari... dan adik aku lari laju-laju turun ke bawah menuju ke rumah jiran sebelah. Kakak aku dah amuk! Tapi yang best, esok dah raya! Kami sambung balik main meriam buluh. Berdentum-dentum bunyi meriam malam tu. Ayah dah bersiap kerana mereka akan bertakbir dari rumah ke rumah...  Kami? hahahahaaa... baju raya dah ada, kasut raya dah ada... aku akan letakkan di atas katil dan tidur bersama-sama mereka. Selalunya tak lena pun tidur... tidur-tidur ayam sebab tak sabar nak tunggu esok. 

"Fireeee!!"

"Main meriam betul la kalau berani!"

Pagi Hari Raya... Wah, masing-masing idung kembang dengan baju dan kasut baru. Walaupun tak cukup tidur, tapi takde pun rasa mengantuk. Lepas sembahyang sunat Aidil Fitri dan bermaaf-maafan dengan mak dan ayah, kami memulakan operasi mengutip duit raya. Maklumlah, duit raya kena cari sendiri. Mak dan ayah tak kasi, dan kami pun tak pinta sebab faham dengan keadaan dan kehidupan dulu yang serba kekurangan. Duit raya time tu paling sikit 10 sen atau 20 sen. Tu pun dah bersyukur sangat. Hanya beberapa buah rumah saja yang bagi 50 sen. Selalunya kawan-kawan yang lain akan bagitahu mana rumah yang bagi duit raya 50 sen tu. Dan kami akan serang dengan hati girang!

Bagi tuan rumah yang agak berada sikit, merasalah kami minum air oren dalam botol tu. Dan kawan-kawan lain yang mula-mula ke rumah tu akan roger kami. Apalagi... kembunglah perut berisi air gas. Ketupat dan rendang dah tak pandang lagi. Kuih raya? Pandang sepi je. Lepas kutip duit raya kami ke rumah sebelah pulak, begitulah seterusnya hingga ke petang... kalau diikutkan takdelah banyak mana hasil yang aku dapat, tapi keseronokan dan kemeriahan menyambut Syawal di kampung mengatasi segala-galanya...

Sekarang ni pun balik kampung dah takde sangat kad raya, pelita raya, kuih raya, bakar lemang dan kacau dodol macam dulu-dulu. Walaupun ada sikit aktiviti, namun kemeriahan tak terasa sangat. Biasa-biasa je... Budak-budak generasi baru kat kampung aku pun dah takde nak main meriam sangat, dah takde nak meredah hutan cari buluh dan kelapa sawit kering buat lampu. Walaupun tak semeriah dulu, sekurang-kurangnya kami masih ada orang tua yang setia menyambut kepulangan kami di desa tercinta... 

"Woi! Seronok sangat apahal, posa tak habih lagi laaa!"

Selamat Hari Raya kepada pembaca semua, Maaf Zahir & Batin dari aku sekeluarga!
(Err... bersalaman tu cukup jari tak?)