Jumaat, 27 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 06) - BERIHRAM DI BIR ALI

Sebelum bertolak ke Mekah, Mutawwif kami adakan sedikit taklimat berkenaan Umrah ni. Kami diajar cara-cara memakai kain ihram dengan betul beserta pantang larangnya sekali. Nampak senang pakai ihram ni, bagi yang tak biasa macam aku ni payah la jugak. Silap pakai boleh terselak atau terlondeh. Ramai para jemaah termasuk aku dah stanby tali pinggang hijau yang besar tu untuk digunakan sebagai tali pinggang. Aku beli kat Maidin je dengan harga RM20.

Dan berkenaan Niat Umrah, perkara-perkara berkenaan pantang larang semasa berihram tu korang bolehlah rujuk di laman-laman web ataupun portal-portal Majlis Agama Islam untuk lebih detail dan terperinci lagi.

Ustaz Samsul sedang memberikan penerangan

Jemaah

Belajar cara-cara memakai ihram

Di depan Hotel - dah siap nak bertolak

Rukun Umrah yang pertama ialah niat. Kami mulakan upacara ibadah Umrah ini dengan pasang niat di Miqat. Miqat ialah tempat untuk melafazkan niat untuk Umrah sebelum masuk ke Mekah. Niat Umrah hanyalah di Miqat dan bukan di tempat lain. Bagi yang datang dari barat seperti Mesir, miqatnya di Juhfah. Bagi yang datang dari selatan seperti Yaman, tempat untuk berihram adalah Qarnul Manazil. Bagi yang datang dari Madinah, tempatnya di Dzulhulaifah Bir Ali (Abyar 'Ali). Bagi yang datang dari bahagian Iraq pula adalah di Dzatu 'Irq. Oleh kerana kami bergerak dari Madinah, maka Miqat kami ialah di Dzulhulaifah Abyar 'Ali atau Bir Ali.

Bertolak ke Bir Ali

Bir Ali ni terletak lebih kurang 9km dari kota Madinah. Kami check out dari hotel di Madinah dan naik bas dengan semua barangan kami. Kami disarankan pakai ihram dari hotel atau pakai masa sampai di Miqat nanti. Tapi kami digalakkan untuk pakai ihram siap-siap dari hotel sebab di Bir Ali nanti takut kesuntukan masa kerana selain kami ramai lagi jemaah lain dari pelusuk negara berMiqat di situ.

Menuju ke Masjid Bir Ali

Sampai saja di Masjid Bir Ali, kami buat sembahyang sunat ihram, pasang niat, dan naik semula ke dalam bas dalam pakaian ihram. Jarak antara Madinah ke Mekah adalah lebih kurang 424km. Perjalanan lebih kurang 6-7 jam. Selama inilah kami perlu menjaga pantang larang berihram sehingga selesai melakukan Umrah di Mekah nanti.

Masjid Bir Ali, tak banyak gambar aku ambik di sini sebab teruja sangat berihram

 Bergambar dengan memakai ihram

 Bergambar dengan salah seorang jemaah

 Bersama kawan-kawan

 Berehat sebentar di salah sebuah R&R. Aku dah lupa namanya

Separuh perjalanan kami berhenti rehat di salah sebuah R&R. Sempat jugak mengopi dan mengalas perut dengan murtabak Arab. Sedap jugak... tapi perut aku ni tak reti kenyang... aku tambah alas perut dengan satu megi cup perasa kari kambing...  baru puas hati.

Kami ada separuh perjalanan lagi untuk sampai ke Mekah dan terus melakukan Umrah. Dijangkakan sampai di Mekah pada jam 9.00 malam. Dalam bas kami bertalbiah dan berselawat kerana sebentar lagi kami akan sampai ke Tanah Suci ini. Hati berdebar-debar dan gembira kerana sebentar lagi kami bakal menjadi tetamu Allah SWT. Syukur kerana masih diberi peluang untuk melihat Kaabah di Baitullah...


Kami sampai di Mekah jam 9.00 malam. Di kejauhan dah nampak menara Masjidil Haram. Ya Allah, terimalah hambamu ini di Tanah SuciMu... permudahkanlah segala urusanku. Sihatkanlah tubuh badanku, ampunkanlah dosa-dosaku. Aku tak putus-putus berdoa malam tu. Selepas urusan check in di bilik penginapan masing-masing, kami berhimpun di lobi untuk taklimat akhir disampaikan oleh wakil Felda Travel, Ustaz Kusyairy. Ntah kenapa jantung aku berdebar-debar malam tu... tepat jam 9.30 malam, kami bergerak menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan Umrah pertama kami...

Bersambung...