Khamis, 5 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 01) - KE MADINAH

Alhamdulillah... impian sekian lama untuk mengerjakan Umrah di Baitullah terlaksana juga akhirnya. Terima kasih tak terhingga kepada Pihak Pengurusan yang memberikan kepercayaan untuk mengetuai Jemaah Umrah seramai 31 orang. Apa yang dikongsikan di sini bukan untuk mendabik dada dan aku berdoa agar catatan ini menjauhkan aku dari sifat riak dan bangga diri, anggaplah sekadar catatan pengalaman untuk dikongsi bersama kerana diri masih berdosa dan mengharap keampunanNya.

Perasaan? Tentulah gembira dan bersyukur kerana menjadi insan yang terpilih untuk ke sana. Berdebar-debar jugak hati ini. Macam-macam perkara bermain di fikiran. Mampukah aku melaksanakan tanggungjawab yang diberikan? Bersediakah aku? Sokongan dari orang tua, orang rumah, anak-anak, saudara mara serta kawan-kawan menjadi kekuatan untuk aku terbang ke sana...

KLIA - Cuaca cantik petang tu. Berangkat pukul 8.30 malam. Datang awal sebab nak kumpulkan jemaah dan beri taklimat perjalanan

Boarding pass dah ada

Sesi taklimat, check in bagasi dan pemberian tag nama kepada jemaah dibantu oleh Haji Edwan dan Ustaz Salahudin. Alhamdulillah, semua berjalan lancar 

Penerbangan dari KLIA jam 8.30 malam dengan Etihad Airways terus membelah awan menuju ke Abu Dhabi. Transit sekejap dan sambung penerbangan ke Jeddah pula. Sampai di Jeddah Airport jam 4.30 pagi. Terasa lama di dalam kapal terbang. Di Jeddah Airportlah banyak kesabaran kita diuji di sini. Benarlah sebelum ini beberapa orang kawan yang pernah ke sini memberikan nasihat supaya banyakkan bersabar di Jeddah ni. Untuk proses imigresen saja kami terpaksa beratur dan menunggu sehingga 4 - 5 jam. Bayangkan semua dari pelusuk negara berurusan di sini, hanya ada 4 kaunter saja untuk urusan cop passport, scan jari dan ambik gambar! Pegawai Imigresennya pulak buat endah tak endah saja. Main henpon, bancuh kopi, bersembang dan bersandar macam takde apa-apa. 

Aku respek banyak jemaah dari Asia ni penyabar orangnya. Aku tengok jemaah dari Nigeria, Afrika, Bangladesh, India malah dari Negara Arab sendiri siap maki hamun lagi kat pegawai tu... kitorang tak berani nak bising-bising sebab kami ni kecik... hihihi... selesai semua urusan di Jeddah hampir 9.30 pagi. Wakil dari Felda Travel dah menunggu bersama bas yang akan membawa kami ke Madinah...

 Bersama Ustaz Oemar yang menguruskan pengangkutan kami

Bas yang membawa kami ke Madinah

Bermulalah perjalanan seorang insan kerdil di bumi Allah... menuju ke Madinah. Adapun dari Jeddah ke Madinah mengambil masa lebih kurang 6 jam dengan menaiki bas. Inilah kali pertama aku menyaksikan keadaan jalan yang lurus dengan kiri kanannya adalah padang pasir, gunung-ganang, bukit-bukau berbatu yang tandus dan kering. Terbayang bagaimana Nabi SAW dan para sahabat merentasi keadaan seperti ini dahulu.

 Separuh perjalanan, berhenti rehat dan makan tengahari di salah sebuah R&R (dah lupa nama tempatnya)

 Bersama Abang Leman

 Perjalanan diteruskan menuju Kota Madinah

Dah nak sampai ke Madinah

Sampai di Madinah pukul 1.00 tengahari. Urusan penginapan dan makan tengahari berjalan lancar di sini. Oleh sebab hari pertama tiada apa-apa aktiviti, aku mula keluar sorang-sorang meninjau persekitaran. Lepas Isya' selepas solat aku balik ke bilik dan keluar semula pada jam 11.30 malam. Sejuknya malam di Madinah...

Kedai-kedai jualan masih dibuka

Berjualan di kaki-kaki lima

Aha... ada kedai kurma

Aku ni tak boleh tengok kurma, nak makan je. Sebelum beli tu aku rasa semua kurma-kurma kat dalam kedai ni.. tapi aku beli jugak untuk kudap-kudapan...

Madinah atau nama penuhnya Madinah al-Munawwarah (Arab: المدينة المنورة) ialah salah sebuah kota yang terdapat di Wilayah Hijaz, Arab Saudi. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa Hijrah, namanya diubah kepada Madinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah (Kota yang bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud "bandar/kota". (Sumber: Google)



Alhamdulillah, sampai juga aku di kota suci yang selama ini aku angan-angankan. Dan yang paling manis, aku dah berada di Masjid Nabawi yang selalu aku lihat di TV dan majalah... sekarang semuanya di depan mata!

Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid An-Nabawi yang mana terdapat Makam Nabi Muhammad SAW. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad SAW. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan oleh Khalifah Al Walid ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Ummaiyyah. Masjid pertama yang dibina juga terletak di Madinah iaitu Masjid Quba.


Aku tinjau-tinjau sekitar Masjid Nabawi malam tu... apa yang berdetik di hati aku ialah nak pergi Raudhah dan Makam Nabi SAW, tapi aku tak tahu di mana letaknya... maklumlah, bukan kecik masjid ni... luas pulak tu...

Bulan di Masjid Nabawi

Masjid Nabawi


Kali ni aku nekad... aku terus masuk dalam selepas menyimpan selipar. Aku cuma jalan terus sambil bertanyakan pengawal di situ. Aku cakap Inggeris, dia balas cakap Melayu... malu aku. Dialognya lebih kurang begini:

Aku: Sir, may I know where is Raudhah and Makam Rasulullah SAW?
Pengawal Masjid: Jalan turuuussssss... belok kiri. Jalan turruussssss lagi.

Hahahaaa... lupa nak bagitau, kat Madinah ni urusan perniagaan dan sebagainya boleh menggunakan bahasa kebangsaan kita. Semua orang kat sini akan guna bahasa Melayu kalau diorang tahu kita dari Malaysia.

Akhirnya berkat doa dan pertolongan Pengawal Masjid tu jumpa jugak dengan Raudhah dan Makam Baginda SAW. Nanti aku ceritakan bagaimana aku boleh masuk ke situ dan bagaimana pulak aku nak carik balik selipar yang aku tak tahu letak kat mana... bersambung!