Rabu, 31 Disember 2014

Jom Mancing - 2H1M KOLAM PAK MAT

Satu hari tu anak aku dah mula ajak berkhemah, lama tak berkhemah katanya. Macam mana nak berkhemah musim hujan sekarang ni. 

"kalau tak berkhemah, kita gi mancing la ayah. lama jugak tak pegi mancing."
Aku akur, cuti sekolah ni dia pun boring jugak memerap kat rumah. Aku teringatkan satu kolam mancing kat jalan nak ke Tekala dulu. Sebab kami pernah memancing dan berkhemah di Sukida Resort tak silap aku. Tapi itu lama dulu, masa umur dia 6 tahun. Sekarang aku tak tahu boleh berkhemah lagi ke tak pasal dah lama tak jengah.

Lepas pack barang semua cukup bergeraklah aku ke sana. OR dan anak yang sulung tak ikut sebab ada hal lain. Kami dua orang je yang pergi. Dah sampai ke Sukida Resort, tak boleh berkhemah pulak sebab tapak khemah hanya untuk group yang ramai je. Melilau jugaklah kat area tu cari kolam memancing yang boleh kami berkhemah kat dalamnya. Namun hampa. 

Lepas berkira-kira nak balik aku teringat satu kolam memancing ni, Kolam Pak Mat namanya. Sampai kat kolam tu, jumpa Pak Mat dan minta kebenaran nak berkhemah dan bermalam di kolamnya. Pak Mat cakap ok, tapi lampu di sekeliling kolam akan ditutup pada jam 12 malam sebab kolam beroperasi dari 7 pagi hingga 12 malam je. Takde masalah bagi aku sebab barang khemah semua dah lengkap, cuma peti ais je aku tak bawak. Yang lain semua cukup. Anak aku dah ceria balik... apalagi, pacak khemah dan memancing sakan selama 4 jam dengan bayaran RM15. Kat kolam Pak Mat ni ada surau dan bilik air, jadi takde masalah nak mandi dan sembahyang.  

 Hari pun dah mendung, pacak khemah dalam pondok ni... Budak ni paling gembira. Kemas tempat tidur dalam khemah, kemas dapur dan makanan. Boleh buat unggun api ke? Dia tanya...

 Hujan dah turun

Kolam Pak Mat ada dua, kami pilih kolam besar tepi rumah Pak Mat. Persediaan pun ala kadar je. Aku bawak satu batang rod halus untuk anak aku layan keli dengan talapia. Selama 4 jam ni biar dia memancing puas-puas. Aku cuma tolong pasangkan umpan je. Lagipun aku tak harapkan sangat tangkapan yang besar-besar macam orang lain. Aku cuma bawak umpan cacing je. Orang sebelah dah toleh-toleh tengok rod kami dengan tali halus, dah tu pakai cacing je. Diorang ramai yang pakai umpan perut ayam, cengkerik, roti dan umpan bancuh untuk menjerat patin dan rohu.
  
 Tunggu ikan patuk umpan. Dah masuk 2 jam dah ikan tak sentuh umpan pun. Joran main letak macam tu je tak bertambat. Kalau ikan besar sentap ada harapan joran masuk kolam!

 Akhirnya dapat talapia merah sekor. Punyalah suka

 Keli pun dapat sekor

Tak lama lepas tu anak aku dah suruh aku check umpan dia ada lagi ke tak sebab dah lama kat dalam air tu. Mintak pasang umpan baru sebab ikan tak nak makan kalau umpan cacing dah putih, katanya la.

Masa nak karau tu la aku rasa berat semacam. Sangkut ke... takkan dalam kolam ada reba kot. Aku tarik slow-slow, bergerak sikit. Aku nak sentap je bagi putus tali, tiba-tiba rasa tali dah kena tarik. Berat pulak tu. Last-last berdecit drag berbunyi, tali kena tarik. Kelam-kabut jugak time tu. Bila dah nampak tali keluar laju je sah-sah la ada ikan ye tak? Dari jauh aku dah nampak sekor patin besar dah sangkut pancing anak aku... menjerit sakan dia arahkan aku longgarkan drag tu... hampir 30 minit baru dapat bawak naik, tu pun kena pakai tangan sebab tangguk tak bawak!

 Dapat jugak akhirnya patin ni

Time ni tengah hujan

 Dah dapat ikan besar bolehlah berehat sambil makan megi. Lepas berjaya naikkan patin tadi, orang sebelah dah kemas-kemas pindah port memancing kat hujung kolam sana

 Sempat jugak la anak aku ambik video masa tengah fight dengan patin tu

Hari kedua tu kami memancing sekejap sebelum bergerak balik sekitar jam 10 pagi. Perut pun sebu je sebab makan megi banyak sangat. Tercapailah hasrat anak aku nak berkhemah sambil memancing.

Bergambar sebelum balik. Patin yang sama, hidup lagi sebab aku tambat dalam kolam

 "Aik, mana talapia dengan keli semalam, dik?"
"Adik lepaskan balik sebab dah dapat yang besar ni..."
Cis! Eksyen!

Kolam Pak Mat

Tapi macam tak percaya pulak, sebab selalunya rekod aku memancing kolam bayar ni paling besar pernah aku dapat ialah ikan kepar (patung) seberat 200g je. Tu sebab aku jarang memancing kat kolam bayar ni, asyik kumpau memanjang. Kes dapat patin kat Kolam Pak Mat ni kira rezeki la tu. Agaknya patin tu takde deria rasa kot sebab umpan cacing pun dia bedal. Walaupun guna rod dan kekili murah dah tu tali sehalus 4 paun, kalau dah jadi rezeki kita takkan ke mana ye dak?

Sekian adanya...