Isnin, 13 Mei 2013

Sebarau Cangkat Jong

Pada hari minggu lalu, satu trip terkejut melepaskan boring dibuat. Ayah yang dah lama tak memancing mencadangkan kami memancing di sekitar Sungai Cangkat Jong, jalan lama ke Teluk Intan. Sebenarnya sungai ni dah lama aku tak kunjungi. Bukan apa, rekod aku kat sungai ni masih tak memihak kepada aku. Tak pernah dapat tangkapan yang melebihi 200 gram. Satu lagi, sungai kat area ni tak pernahnya jernih. Kalau hujan sejam, dia punya keruh sampai berhari-hari nak jernih balik. Atas faktor dekat dengan rumah, apalagi aku, aliff dan ayah terus terjah je... manalah tahu, rezeki aku murah kali ni...


Sampai je ke tempat yang dituju, makan dulu la. Perut pun dah berkeroncong minta diisi.  



Ayah dan Aliff lepak di satu lubuk bawah pokok ketapang. Aku duduk di port bawah sikit dari diorang sebab diorang suka buat bising... takut ikan lari hahaha... Cuaca pun baik, tapi air sungainya keruh sikit walaupun dah lama tak hujan. Umpan cengkerik, cacing dan kelapa sawit menjadi taruhan pada hari tu... diberitakan selain jelawat, kelah pun ada jugak kat sini...



Aliff mengejutkan kami bila umpan cengkeriknya disambar sebarau. Sebarau besar ni berjaya melilitkan tali pada dahan yang berjuntai, lama-kelamaan rontaannya semakin lemah dan berjaya menariknya ke tebing...

"Ha, tengok... walaupun rod saya murah dari ayah punya, saya berjaya juga mendapat sebarau ni..."



 Diam tak diam, ayah pun dapat sekor lagi sebarau. Kecik sikit dari Aliff punya. Diorang dah boleh eksyen dengan aku kerana dah berjaya dapat lesen kat Sungai Cangkat Jong ni...



Ayah dan Aliff masih setia menunggu di port pertama diaorang dapat sebarau tadi... masih bergelak ketawa macam tadi. Dua ekor sebarau terjerat di port yang sama... tengok la batang pancing diorang, letak sebelah menyebelah je... patut la dapat dua ekor! Cis!



Aku? Setelah mengharungi perlawanan yang mendebarkan, tali tersangkut reba, joran yang acapkali menunduk-nunduk...Hahahahaaa... kan aku dah kata, mesti tak boleh lawan rekod aku yang dulu. Seekor baung tak jadi seberat 90 gram! 



Terpaksa la bergambar dengan ikan pinjam!



"Wah! Besornya ikan ayah dapat, pinjam nak bergambar jap!" Anak lampam tak sampai 100 gram.



Ayah aku pun sama, tumpang bergambar dengan ikan aku yang 'besar' sangat tu... hahahaha... 
"Ayah rasa ikan ni belum buat Kad Pengenalan lagi la..."
Hampeh...




Dan sampai ke sudah, ikan-ikan kecik ni setia meragut umpan aku. Tercipta lagi kenangan, rekod terberat ikan aku di Sungai Cangkat Jong ini gagal dipecahkan lagi... huhuhuhu....

Sekian adanya....





Haruan Kebun Sawit

Asalnya terjadi kolam ni akibat kerja-kerja penggalian sejenis batu yang mengandungi besi di dalamnya. Tanah digali sedalamnya untuk mengorek keluar batu-batu ni. Bongkah-bongkah batu ni kemudian dicuci di sebuah kolam yang digali dari anak sungai. Kolam cucian ini letaknya di belakang kebun sawit ayah yang pada asalnya hanya parit kecil yang jernih airnya. Antara spesis ikan yang ada di sini ialah sepat, haruan, keli, selat dan ikan putih. Biawak pun banyak jugak... 


Batu-batu dikeluarkan dari tanah. Pokok sawit ditebang dan apabila batu-batu dah tak ada lagi, tanah diratakan dan kelapa sawit ditanam semula mengikut perjanjian dengan pengusaha batu tersebut.   



Inilah kolam yang dijadikan tempat mencuci batu. Kolam ni asalnya kawasan paya yang ditanam kelapa sawit. Akibat produktiviti buah sawit agak lembab di kawasan paya ni, ayah membenarkan kawasan ni dijadikan kolam untuk mencuci batu dengan sedikit bayaran saguhati... bagi aku bila dah ada kolam macam ni, tentulah ada ikannya ye tak...



Ni lah rupanya batu besi tu. Sejenis batu, dalamnya ada besi. Yang kehitaman tulah besinya. Selepas dicuci batu ni akan dibawa ke kilang untuk diproses bagi mengeluarkan besinya. Lepas tu besi tu pulak akan dibuat apa ya... aku pun tak tahu... yang aku tahu, lepas ni bertambah satu lagi port memancing aku di kampung...



Pokok sawit ayah yang dah tenggelam masa mula-mula kolam dibentuk... dah tunggu nak mati je. Pelepah-pelepah yang ditenggelami air menjadi tempat persembunyian ikan...



Aku dah boleh bayangkan ikan apa yang ada disebalik pelepah sawit yang berjuntai-juntai tu... 



Balingan pertama pada petang tu terus disambar seekor haruan. Joran Fernwick sama kekili Penn Captiva menjerit nyaring. Perlawanan kena kasar sikit sebab pelepah sawit banyak kat dalam air tu... dengan kekuatan tali sulam Spiderwire 20lb takde masalah untuk menghelanya keluar.



Walaupun haruannya tak sebesar mana tapi tentangannya memang menggeletarkan lutut aku...
Bila katak rambutan ni melintas je depan dahan sawit yang berjuntai tu, terus disergapnya.



Umpan katak rambutan merah putih amat laku di sini, sebaik umpan jatuh ke air, karuan perlahan dengan sedikit henjutan dilakukan.



Seekor lagi aku dapat dengan katak rambutan warna hijau. Hanya dua warna ini sahaja sempat ku cuba... kerana hari dah nak hujung petang. 



Sebelum pulang aku masih mendapat sambaran lagi dicelah pelepah sawit yang tenggelam. Gewang permukaan paling sesuai digunakan memandangkan reba yang banyak. Aku cuba juga menggunakan gewang  permukaan seperti popper namun tiada sambaran. Mungkin kebanyakkan haruannya lepak disebalik reba dan tidak bermain di kawasan terbuka.



Haruan yang aku dapat di sini beratnya sekitar 300 - 400 gram sahaja. Aku percaya ada lagi yang lebih besar sedang menanti kerana beberapa minggu selepas berita ini ditulis, ayah aku dah inform ada pemancing dapat berskala 2kg dengan umpan katak hidup... hmm... bila nak ripit lagi ni...




Selasa, 7 Mei 2013

Jom Jalan-Jalan Terengganu

Terengganu Darul Iman, negeri cantik budaya menarik. Entah kenapa kalau ditanya destinasi yang paling suka dikunjungi, pasti aku memilih Terengganu. Tak kira musim cuti sekolah pertengahan atau hujung tahun paling tidak dalam seminggu aku akan ke sana. Memang perjalanan menyeronokkan bagi aku, namun bagi anak dan isteriku kadang-kala penat jugak seharian di dalam kereta... destinasi kali ini ialah Besut.

Bila dah sampai ke sini, jangan lupa air niranya yang ekspendebles... segar dari ladang. Aku boleh minum 3 botol sebab sedap tak hingat...



Padang pancingnya bersepah. Dari pancingan pantai, tali air atau kolam-kolam semulajadinya banyak terdapat di sini... takde sapa nak melarang kita memancing (kecuali kolam persendirian la) 



Pengalaman pertama anak aku Aliff dapat ikan laut, memang teruja sangat kerana selama ni dia banyak didedahkan dengan ikan air tawar sahaja. Lokasi ni di Bukit Keluang. Tempat ni memang cantik... aku tengok banyak fotografi pengantin dibuat di sini.



Di Jeti pendaratan ikan di Besut ini juga kami redah. Orang sekeliling pandang semacam je sebab takde orang mancing kat situ. Namun bagi aku di mana ada air di situlah ada ikannya. Memang banyak ikan, tapi kecik-kecik je la...



Walaupun hasil kecik, namun ia pengalaman berharga bagi anak aku. Waktu tengahari macam ni memang takde orang memancing pun, boleh rentung dibuatnya...



Cantik ikan ni, aku pun tak tahu apa namanya...



Satu lagi yang best kat Terengganu ni, makanannya murah-murah, beraneka warna dan jenis. Dah tu  pulak, cantik je dibungkus-bungkus macam ni. RM1 satu bungkus memang murah dan puas makan.



Makanan ringannya pun macam-macam ada. Aku terjumpa satu makanan ni. Teringat masa kecik-kecik dulu mak aku buat Sagun. Bagi budak zaman sekarang aku rasa diorang tak kenal makanan ni kot...



Jeruk-jeruknya, mmmmm... kecur air liur. Tapi tak boleh makan banyak, asyik terbersin je. Cuka dia banyak sangat kot...



Satu lagi makanan kegemaran kami... Sata. Semuanya segar-segar dan dimakan panas-panas.



Di pasar Kuala Besut, kebanyakkan penjualnya adalah orang perempuan. Dari yang jual ikan sampai yang jual kacang. Peniaga lelaki aku tengok jual ikan laga je... gambar aku tak sempat nak snap, orang ramai.




Keropok kering berbagai pilihan. Mahu yang timbang atau dipek semuanya ada.



Satu satu kedai keropok kegemaran kami kalau nak beli banyak-banyak untuk dibawa balik.



Makanan lautnya jugak banyak dijual di tepi-tepi jalan. Kulit lala, kepah atau tijahnya dicuci bersih sebelum dijual. Aku diberitahu  oleh pemilik gerai ni ianya dicari di belakang gerai ini sekitar Pulau Kambing waktu air surut...



3 kilo seploh ringgit je...  



Masak merah dengan serai... perghhhh...



Dah lama tak minum air karbonat ni. Teringat masa kecik-kecik dulu dijual 50 sen sebotol.



Nasik air di gerai Mok Teh dekat Pantai Semerak, memang terangkat. Menu ni memang tak pernah tinggal jika aku ke sini. Rasanya tetap sama seperti mula-mula orang rumah perkenalkan pada aku 3 tahun dulu...



Huh! Abih licin...



Jika ke Pantai Semerak, singgah la ke gerai Mok Teh ni...



Waktu petang boleh mandi di Pantai Bukit Keluang, kebetulan kunjungan kali ini waktu air besar. Nak mandi jauh-jauh pun tak berani tengok ombak dia besar reban itik pak cik Leman... jadi aku suruh anak-anak aku main tepi je... tapi best jugak main ombak yang membadai pantai... ewaahhh!



"Tunggu... tungguuu... ombak nak datang tuuuu...."
"Sepatutnya adik duduk depan laaa... bukan belakang"
"Takpe, biar ombak tu pukul adik dulu... hahaha"



Yiehaaaaaa!!!



Banyak warna-warna keindahan sepanjang  percutian di sini untuk diabadikan. Dari makanannya, kehidupan orang di sini, budaya serta pemandangan yang menarik sepanjang perjalanan menyusuri pantai dan kampung menambat hatiku untuk datang ke sini lagi... 






Selamat tinggal Terengganu Darul Iman...


Jumaat, 3 Mei 2013

Soft Plastic (SP) bertuah

Penggunaan soft Plastic (SP) untuk menggoda tangkapan semakin mendapat tempat bagi pengilat haruan dan ikan-ikan lain. Namun apabila sesuatu SP itu mula menunjukkan tuah, stoknya mula kehabisan atau susah untuk mencarinya lagi... kolam tadahan banjir berhampiran tempat tinggal menjadi lapang sasar untuk menduga haruan di sana. Haruan kat sini dah pandai memilih umpan... katak hidup atau gewang lain dah tak layan.



Inilah SP yang menjadi kebanggaanku. SP jenama Bakau ini susah nak dapat (yang berwarna putih). Kebanyakan hasil mengilatku adalah menggunakan SP ini. Aksi gelekan ekornya setanding dengan jenama lain. Walaupun tak tahan lama kerana mudah terputus atau terkoyak, aku simpan stoknya... sehinggalah stoknya dah kehabisan aku gunakan.



Haruan yang menghentam SP putih ini berhampiran tebing sahaja. Sengaja aku henjutkan ditepi tebing  berhampiran semak. Secara tiba-tiba haruan ini menyergapnya. Joran hampir terlepas sebab aku tak bersedia.



Haruan di Tasik Kota Puteri ini juga terpedaya dengan SP putih Bakau selepas berpuluh gewang aku gunakan. Selepas balingan, SP dibiarkan tenggelam dan henjutan perlahan sambil menyentuh dasar dilakukan.



Walaupun haruannya tak sebesar mana, tapi kesudiannya menyambar SP ini amat aku hargainya. Sebagai balasan, ianya dilepaskan kembali...



Ini tangkapan di sebuah sawah di Tanjung Karang, SP putih ini juga berjaya menawan haruan curut... hahahaaaaaaa...




Selain teknik karauan perlahan, aksi menyodok dasar juga boleh dilakukan... hasilnya belut yang entah datang dari mana pun berselera dengan SP putih ini, yang ini selamat aku lepaskan juga ... tapi aku lepaskan ke dalam kuali la... jangan marahhhh aaaa....





Lagi sekor haruan yang terpesona dengan lenggok SP tersebut. Ketutu curut dan ikan bandaraya pun tergoda...





Begitulah kisah betapa bertuahnya SP putih tu bagi seorang pengilat amatur seperti aku. Kolam takungan banjir ni pun dah diorang renovate lagi untuk kali kedua, airnya pun dah kering kerana kerja-kerja mendalamkan kolam ni sedang giat dijalankan. Untuk lebih canggih lagi diaorang macam nak buat sistem empangan pulak. Tak tahulah macam mana rupanya. Dan SP putih ini banyak berjasa kepada aku, sampai sekarang aku masih mencarinya lagi...


Sekian adanya...