Isnin, 13 Mei 2013

Haruan Kebun Sawit

Asalnya terjadi kolam ni akibat kerja-kerja penggalian sejenis batu yang mengandungi besi di dalamnya. Tanah digali sedalamnya untuk mengorek keluar batu-batu ni. Bongkah-bongkah batu ni kemudian dicuci di sebuah kolam yang digali dari anak sungai. Kolam cucian ini letaknya di belakang kebun sawit ayah yang pada asalnya hanya parit kecil yang jernih airnya. Antara spesis ikan yang ada di sini ialah sepat, haruan, keli, selat dan ikan putih. Biawak pun banyak jugak... 


Batu-batu dikeluarkan dari tanah. Pokok sawit ditebang dan apabila batu-batu dah tak ada lagi, tanah diratakan dan kelapa sawit ditanam semula mengikut perjanjian dengan pengusaha batu tersebut.   



Inilah kolam yang dijadikan tempat mencuci batu. Kolam ni asalnya kawasan paya yang ditanam kelapa sawit. Akibat produktiviti buah sawit agak lembab di kawasan paya ni, ayah membenarkan kawasan ni dijadikan kolam untuk mencuci batu dengan sedikit bayaran saguhati... bagi aku bila dah ada kolam macam ni, tentulah ada ikannya ye tak...



Ni lah rupanya batu besi tu. Sejenis batu, dalamnya ada besi. Yang kehitaman tulah besinya. Selepas dicuci batu ni akan dibawa ke kilang untuk diproses bagi mengeluarkan besinya. Lepas tu besi tu pulak akan dibuat apa ya... aku pun tak tahu... yang aku tahu, lepas ni bertambah satu lagi port memancing aku di kampung...



Pokok sawit ayah yang dah tenggelam masa mula-mula kolam dibentuk... dah tunggu nak mati je. Pelepah-pelepah yang ditenggelami air menjadi tempat persembunyian ikan...



Aku dah boleh bayangkan ikan apa yang ada disebalik pelepah sawit yang berjuntai-juntai tu... 



Balingan pertama pada petang tu terus disambar seekor haruan. Joran Fernwick sama kekili Penn Captiva menjerit nyaring. Perlawanan kena kasar sikit sebab pelepah sawit banyak kat dalam air tu... dengan kekuatan tali sulam Spiderwire 20lb takde masalah untuk menghelanya keluar.



Walaupun haruannya tak sebesar mana tapi tentangannya memang menggeletarkan lutut aku...
Bila katak rambutan ni melintas je depan dahan sawit yang berjuntai tu, terus disergapnya.



Umpan katak rambutan merah putih amat laku di sini, sebaik umpan jatuh ke air, karuan perlahan dengan sedikit henjutan dilakukan.



Seekor lagi aku dapat dengan katak rambutan warna hijau. Hanya dua warna ini sahaja sempat ku cuba... kerana hari dah nak hujung petang. 



Sebelum pulang aku masih mendapat sambaran lagi dicelah pelepah sawit yang tenggelam. Gewang permukaan paling sesuai digunakan memandangkan reba yang banyak. Aku cuba juga menggunakan gewang  permukaan seperti popper namun tiada sambaran. Mungkin kebanyakkan haruannya lepak disebalik reba dan tidak bermain di kawasan terbuka.



Haruan yang aku dapat di sini beratnya sekitar 300 - 400 gram sahaja. Aku percaya ada lagi yang lebih besar sedang menanti kerana beberapa minggu selepas berita ini ditulis, ayah aku dah inform ada pemancing dapat berskala 2kg dengan umpan katak hidup... hmm... bila nak ripit lagi ni...