Isnin, 30 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 07) - UMRAH PERTAMAKU

Assalamualaikum wbt... sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak ini aku ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam terutama pembaca setia blog aku (ada ke?), kawan-kawan blogger serta sahabat handai tak kira di mana anda berada... semoga Ramadhan tahun ini memberi lebih banyak sinar keinsafan kepada kita untuk beramal dan bersujud kepadaNya. Maafkan aku jika ada terkasar bahasa, tersalah cerita melalui blog yang tak sepertinya ini. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu dari aku sendiri dan aku berusaha berdoa dan memperbaikinya... Insyaallah.
________________________________________________________________________

Alhamdulillah... syukur kepada Allah kerana dengan izinNya aku berada di depan Kaabah. Hilang segala debaran sejak bertolak dari Madinah lagi. Kaabah yang selama ini aku lihat di TV dah pun berada di depan mata. Tak tergambar perasaan aku ketika ini. Sedih dan gembira kerana menjadi tetamu Allah. Sambil bertawaf kami berdoa, sayu hati ini Allah SWT sahaja yang tahu. Banyak dosa-dosa aku bawa ke sini dan mengharapkan keampunanNya... kami memulakan tawaf pada pukul 10 malam dan berakhir sekitar jam 11.30 malam lebih kurang. Kami tak dapat mengucup Hajarul Aswad kerana orang agak ramai ketika itu walaupun hati tergerak jugak nak mengucupnya... cukup sekadar beristilam sahaja (melambai dari jauh dan mengucup tangan).

Bertawaf

 Selesai Tawaf. Kaabah di belakang terasa dekat sahaja


 Bersama Pakcik Maat

 Encik Isa dan isteri

 Aku respek pakcik ni. Walaupun agak berusia tapi masih kuat lagi mengerjakan Umrah


 Selepas bertawaf dan sembahyang sunat kami terus ke Bukit Safa untuk mengerjakan Sa'i


Ibadah Sa'i merupakan salah satu Rukun Haji dan Umrah yang dilakukan dengan berjalan kaki berulang alik 7 kali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dan sebaliknya. Jarak kedua-dua bukit yang satu sama lainnya sekitar 405 meter. Ketika melintasi Bathnul Waadi iaitu kawasan yang terletak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah (ditanda dengan lampu berwarna hijau) para jemaah lelaki disunatkan untuk berlari-lari anak dan untuk jemaah wanita kena berjalan cepat.

Terus terang la aku mengaku, hampir pancit jugak la aku ni. Betul la kata orang, selain persediaan mental untuk ke Mekah ni, fizikal pun kena cukup kuat jugak. Maknanya sebelum kita mengerjakan Umrah, ada baiknya kita eksesais dulu bagi menguatkan kaki dan badan kita. Terasa kejang jugak urat betis ni berjalan ulang-alik dari Bukit Safa dan Marwah ni... Alhamdulillah, berjaya jugak aku lakukan.


 Kawasan lampu hijau - Jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak


 Ramainya orang

 Last Sa'i

 Berdoa selepas selesai Sa'i dan bertahallul


Selesai Umrah sekitar 12.30 malam... kami sepakat semua jemaah lelaki nak cukur botak malam tu

Menuju ke kedai gunting. Nasib baik orang tak ramai lagi. Punyalah laju Pak Arab ni cukur kepala kita. Tak sampai 8 minit dah licin. Bercukur di sini dicaj sebanyak SR10 je... lepas botak rasa ringan je kepala


Abang dah botak... saja tutup mata sebab mata merah. Aku berdoa semasa bercukur agar dosa-dosaku yang lalu akan gugur sepertimana gugurnya rambutku malam tu, Insya-Allah. Sayu je tengok muka sendiri walaupun takde orang kisah... 


 Masjidil Haram dari pintu keluar bersa'i

 Jam besar

Bersembahyang di kawasan atas Masjidil Haram. Waktu Maghrib, Isya' dan Subuh aku suka bersolat di sini sebab sejuk dan berangin


Menjelang masuk waktu solat berpusu-pusu orang menuju ke Masjidil Haram. Gambar ni aku ambil ketika nak masuk waktu Maghrib


Kami berada di Mekah selama 5 hari. Sama juga di Madinah, jika tiada apa-apa aktiviti lain kami lebih suka berada di Masjidil Haram untuk melakukan ibadat dan bertawaf sunat. Selama 5 hari jugalah kebanyakan dari kami demam dan batuk. Mungkin disebabkan cuaca panas pada sebelah siangnya ditambah lagi dengan habuk-habuk melalui kerja-kerja pengubahsuaian yang pesat di sekitar Masjidil Haram menambahkan lagi batuk kami. Namun kami berserah kepada Allah dan selagi terdaya kami tetap bersolat di Masjidil Haram ni. Aku sendiri terpaksa bersolat Zohor dan Asar di bilik hotel je kerana mengalami demam...

Bersambung...

Jumaat, 27 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 06) - BERIHRAM DI BIR ALI

Sebelum bertolak ke Mekah, Mutawwif kami adakan sedikit taklimat berkenaan Umrah ni. Kami diajar cara-cara memakai kain ihram dengan betul beserta pantang larangnya sekali. Nampak senang pakai ihram ni, bagi yang tak biasa macam aku ni payah la jugak. Silap pakai boleh terselak atau terlondeh. Ramai para jemaah termasuk aku dah stanby tali pinggang hijau yang besar tu untuk digunakan sebagai tali pinggang. Aku beli kat Maidin je dengan harga RM20.

Dan berkenaan Niat Umrah, perkara-perkara berkenaan pantang larang semasa berihram tu korang bolehlah rujuk di laman-laman web ataupun portal-portal Majlis Agama Islam untuk lebih detail dan terperinci lagi.

Ustaz Samsul sedang memberikan penerangan

Jemaah

Belajar cara-cara memakai ihram

Di depan Hotel - dah siap nak bertolak

Rukun Umrah yang pertama ialah niat. Kami mulakan upacara ibadah Umrah ini dengan pasang niat di Miqat. Miqat ialah tempat untuk melafazkan niat untuk Umrah sebelum masuk ke Mekah. Niat Umrah hanyalah di Miqat dan bukan di tempat lain. Bagi yang datang dari barat seperti Mesir, miqatnya di Juhfah. Bagi yang datang dari selatan seperti Yaman, tempat untuk berihram adalah Qarnul Manazil. Bagi yang datang dari Madinah, tempatnya di Dzulhulaifah Bir Ali (Abyar 'Ali). Bagi yang datang dari bahagian Iraq pula adalah di Dzatu 'Irq. Oleh kerana kami bergerak dari Madinah, maka Miqat kami ialah di Dzulhulaifah Abyar 'Ali atau Bir Ali.

Bertolak ke Bir Ali

Bir Ali ni terletak lebih kurang 9km dari kota Madinah. Kami check out dari hotel di Madinah dan naik bas dengan semua barangan kami. Kami disarankan pakai ihram dari hotel atau pakai masa sampai di Miqat nanti. Tapi kami digalakkan untuk pakai ihram siap-siap dari hotel sebab di Bir Ali nanti takut kesuntukan masa kerana selain kami ramai lagi jemaah lain dari pelusuk negara berMiqat di situ.

Menuju ke Masjid Bir Ali

Sampai saja di Masjid Bir Ali, kami buat sembahyang sunat ihram, pasang niat, dan naik semula ke dalam bas dalam pakaian ihram. Jarak antara Madinah ke Mekah adalah lebih kurang 424km. Perjalanan lebih kurang 6-7 jam. Selama inilah kami perlu menjaga pantang larang berihram sehingga selesai melakukan Umrah di Mekah nanti.

Masjid Bir Ali, tak banyak gambar aku ambik di sini sebab teruja sangat berihram

 Bergambar dengan memakai ihram

 Bergambar dengan salah seorang jemaah

 Bersama kawan-kawan

 Berehat sebentar di salah sebuah R&R. Aku dah lupa namanya

Separuh perjalanan kami berhenti rehat di salah sebuah R&R. Sempat jugak mengopi dan mengalas perut dengan murtabak Arab. Sedap jugak... tapi perut aku ni tak reti kenyang... aku tambah alas perut dengan satu megi cup perasa kari kambing...  baru puas hati.

Kami ada separuh perjalanan lagi untuk sampai ke Mekah dan terus melakukan Umrah. Dijangkakan sampai di Mekah pada jam 9.00 malam. Dalam bas kami bertalbiah dan berselawat kerana sebentar lagi kami akan sampai ke Tanah Suci ini. Hati berdebar-debar dan gembira kerana sebentar lagi kami bakal menjadi tetamu Allah SWT. Syukur kerana masih diberi peluang untuk melihat Kaabah di Baitullah...


Kami sampai di Mekah jam 9.00 malam. Di kejauhan dah nampak menara Masjidil Haram. Ya Allah, terimalah hambamu ini di Tanah SuciMu... permudahkanlah segala urusanku. Sihatkanlah tubuh badanku, ampunkanlah dosa-dosaku. Aku tak putus-putus berdoa malam tu. Selepas urusan check in di bilik penginapan masing-masing, kami berhimpun di lobi untuk taklimat akhir disampaikan oleh wakil Felda Travel, Ustaz Kusyairy. Ntah kenapa jantung aku berdebar-debar malam tu... tepat jam 9.30 malam, kami bergerak menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan Umrah pertama kami...

Bersambung...

Selasa, 24 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 05) - WARNA-WARNA MADINAH

Kami berada di Madinah selama 5 hari, selain beribadah atau melakukan program ziarah, di Madinah juga menjadi tumpuan jemaah-jemaah dari seluruh negara membeli buah tangan, barangan cenderahati dan sebagainya untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan. Tak terkecuali aku, jika tiada apa-apa aktiviti aku suka ronda-ronda sekitar hotel melihat gelagat orang berjualan di tepi-tepi lorong dan jalan. Barang-barang di sini takdelah mahal sangat, kena pandai tawar-menawar la... sekali tengok memang meriah. Macam-macam ada dari bermacam benda dan bangsa yang mewarnai Kota Madinah ini...

Selain dari itu aku tengok majoriti penjual-penjualnya adalah golongan wanita. Peminta sedekahnya pun ramai dari golongan ini, kalau anda ke Madinah, diorang ni semua berpurdah hitam. Aku dengar peminta sedekah ni adalah dari sendikit tertentu. Entahlah... terpulanglah pada diri masing-masing menilainya. Pada aku ada baiknya bersedekah pada pekerja-pekerja masjid je. 

Aku pernah kena kejar dengan peminta sedekah wanita berpudrah hitam ni... mencanak aku lari. Maunya tak kena kejar, aku bagi sedekah kat sorang perempuan tu, kawan-kawannya yang lain dah nampak. Empat orang kejar aku mintak duit... (ayoyoyooo... larikkkk sambil jinjing kamera) 


Penjual tasbih - bermacam-macam kaler dan jenis

 Penjual tasbih lagi


 Budak ni jual apa ya... macam jual rempah je. Orang cakap dia jual makanan burung merpati sebab banyak merpati kat sini


 Kedai kurma di Madinah

 Ali bersama Ali (Kebetulan dia tengok tag nama aku, terus mintak bergambar sebab sama nama dengan dia)

 Penjual jam

 Jam lawa-lawa, tapi made in China

Rempah ratus dan ubat-ubatan. Minyak Cap Kapak pun ada jual. Tiada masalah pening kepala, kembung perut ringan dan loya-loya

 Buah Tin kesukaan orang rumah aku. Aku borong lima paket. Satu paket SR10...

Ada jual bakso? Menurut Mutawwif kami, banyak kedai orang Indon kat sini. Tapi orang tempatan yang menguruskannya

 Bakso Goyang Lidah - ada berani?

 Penjual coklat - penjualnya dah ke masjid

 Kedai-kedai di lorong sebelah hotel

 Penjual jubah dan telekung

 Kedai ais krim dan kebab - Orang kata sedap, aku tak try sebab batuk

 Penjual Al Quran

 Mari-mari sapa nak timbang berat badan... satu riyal sahaja. Tapi ramai yang bersedah kat budak ni

 Budak menjual kayu sugi

 Penjual tudung dan selendang

Errr... Starbucks Coffee


Esok kami akan meninggalkan Kota Madinah menuju ke Mekah untuk mengerjakan Umrah. Terasa sayang nak tinggalkan Kota Nabi SAW ini. Belum puas rasanya menghirup udaranya yang kering dan berangin ini. Belum puas rasanya bersolat di Masjid Nabawi. Sedih hati meninggalkan Makam Nabi SAW dan Makam sahabat-sahabat Baginda. Yang pasti kami akan merindui bacaan Al Quran Imam-Imam Masjid Nabawi, kami akan rindui Raudhah dan wangi karpet hijaunya... selamat tinggal Kota Madinah...

Bersambung... ke Mekah Al-Mukarramah.

Isnin, 23 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 04) - ZIARAH

Seperti kebanyakan pakej-pakej Umrah lain, program ziarah akan diadakan di sekitar Madinah atau luar kawasan Madinah bagi memberi pengetahuan dan pengalaman sambil melihat sendiri sejarah di sesuatu tempat tersebut. Beruntungnya bagi kami dapat melihat sendiri tempat-tempat sejarah yang pernah menjadi tempat Nabi SAW menyiarkan syariat Islam suatu ketika dahulu.


 Pemandu bas kami... bawak bas punyalah laju

Ustaz Samsul Arifin, Mutawwif kami yang pemalu dan banyak membantu. Jika ada keizinan dari Allah SWT aku nak berjumpa dia lagi. Menetap di Mekah hampir tujuh tahun Ustaz ni...

Dalam perjalanan yang kiri kanannya hanya padang pasir dan bukit bukau yang kering dan tandus ini memberikan kesedaran kepada kami bagaimana sukarnya Nabi SAW dan para sahabat berkelana merentasi keadaan yang sukar ini. Cuaca panas hari ini sekurang-kurangnya kami boleh berlindung di dalam bas yang berhawa dingin.

Perjalanan untuk Program Ziarah

Ziarah pertama kami ke Masjid Quba

Masjid Quba (atau Masjid al-Quba) ialah masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid ini terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid an-Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi SAW sebelum baginda tiba di Madinah ketika berhijrah dari Makkah. Masjid Quba kemudian disiapkan oleh sahabat Nabi SAW.

Kubah dan menara masjid

Masjid Quba dianggap antara masjid paling suci dalam pegangan penganut agama Islam, mengikut turutannya ialah Masjidil Haram (Makkah), Masjid an-Nabawi (Madinah), Masjidil Aqsa (Baitulmuqaddis), Masjid Quba (Madinah). Masjid Quba disebut di dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibangunkan di atas dasar taqwa.

Di hadapan Masjid Quba

Masjid Quba telah siap dibina semula dalam tahun 1986 Masihi. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, Kerajaan Arab Saudi berkeras untuk meruntuhkan bangunan Masjid yang lama.

Bergambar kenangan

Masjid Quba mempunyai dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempatkan di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan.

Terdapat 6 buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini. Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara di setiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.

Pohon kurma di Masjid Quba

Berehat-rehat keseorangan

Program Ziarah - Ladang Kurma

Bagi penggemar kurma, terdapat pelbagai jenis kurma yang menjadi pilihan di sini antaranya Ambar, Sukari, Barni dan paling popular Ajwah yang juga dikenali sebagai Kurma Nabi. Seperti yang kita sedia maklum, kurma juga terdapat pelbagai gred. Bermula gred yang baik sehinggalah sebaliknya. Harga kurma juga bergantung kepada gred. Sebagai contoh, kurma Ajwah yang bergred tinggi harganya boleh mencecah sehingga SR130 bagi satu kilogram manakala yang gred biasa hanya sekitar SR50 - SR60 sahaja. Jadi terpulanglah pada kita nak kurma yang mana satu.  

Di luar ladang kurma

Kurma Halwa

Macam-macam jenis dan warna

Penjual kurma

Coklat pun ada

Selamat datang di kebun kurma. Ramai orang pada hari tu

Bergambar kenangan sebelum balik

Kat ladang kurma ni aku tak beli apa-apa pun sebab dah banyak kurma aku beli di Kota Madinah lagi. Jadi, aku banyak merasa kurma yang berbagai jenis tu kat sini. Dan waktu kunjungan kami bukanlah musim kurma masak. Semua masih hijau dan kelat rasanya. Kebanyakan yang dijual di sini adalah stok lama. Itulah keajaiban buah kurma ni ianya tetap elok biarpun disimpan lama-lama. kami diberitahu, bulan Ramadhan adalah waktu kurma tu akan masak dan sedia untuk dipetik. 

Program Ziarah kami diteruskan ke Bukit Magnet yang terletak di luar Tanah Haram iaitu lebih kurang 30km ke arah kota Tabuk. Jika dari Madinah kedudukan Bukit tersebut akan berada di belakang dan bas terpaksa melawan tarikan graviti Bukit Magnet menyebabkan bas tersebut terasa amat berat hanya mampu bergerak pada kelajuan maksimum 60-70 km/jam walau pedal minyak ditekan sehingga maksimum. Kawasan yang diliputi oleh kuasa tarikan graviti Bukit Magnet adalah lebih kurang 2 km atau lebih. Subhanallah.

Perjalanan ke Bukit Magnet (Jabal Magnet)  

Kering dan tandus... cuaca panas menyengat kepala

Demo... air dicurahkan ke jalan raya. Aliran air akan naik ke atas bukan turun ke bawah. Sedangkan jalannya menaik bukan menurun. Senang cerita, air mendaki ke atas. 

Bas pun sama, enjin dimatikan dalam kedudukan free gear. Bas naik ke atas. Bukan berundur ke bawah.

Bergambar di Bukit Magnet

Tahan pakcik ni kerja tengah panas...

Tamat program ziarah, kami bergerak pulang ke Madinah dengan penuh kesyukuran kerana dapat melihat dan solat di Masjid Quba yang selama ini aku lihat di majalah dan internet, dapat merasa sendiri kesegaran kurma di bumi Madinah ini serta dapat melihat kebesaran Allah SWT di Bukit Magnet... 

Dan... badan dah mula terasa nak demam dan batuk-batuk. Ramai jemaah mengalami perkara yang sama... aku dah ready awal-awal ubat batuk dan demam yang aku bawa dari Malaysia. Tapi tak kebah-kebah jugak. 

Bersambung lagi...