Isnin, 25 November 2013

Layan Kolam HERITAGE

Lama jugak tak layan kolam bayar ni. Dulu rajin jugak pegi memancing di kolam-kolam bayar kalau takde aktiviti menyiram bunga atau memberi kucing makan. Tengahari lepas Zohor terus ke Ulu Yam menuju ke Kolam Heritage dengan hasrat dapat menarik patin mega dan rohunya heheheh... 

Jalan Ulu Yam - lengang pulak, mana peginya kereta ramai-ramai yang selalu menuju ke tempat perkelahan tu? Agaknya ramai yang tak pegi berkelah kot hari ni

Suasana kolamnya memang damai. Air kolam bersih, tandas bersih, kedai makan bersih dan ikan-ikan kat dalam tu lagi bersih sebab air yang masuk ke kolam adalah dari anak sungai pergunungan yang terletak di sebelah kolam... Tu sebab ikan-ikannya tidak berbau lumpur jika dimasak (orang cakap la)

Ada empat kolam semuanya. Ni kolam utama la kot sebab besar dari kolam yang lain

Dua kolam ni ada talapia merah dan keli. Kadang-kadang rohu pun ada tapi tak besar sangat 

Ada pondok di setiap kolam untuk berlindung dari panas dan hujan

Masa sampai tu orang tak berapa ramai lagi, jadi aku tawaf dulu ambil gambar

Ada jugak disediakan pondok atau chalet kepada yang nak menginap di sini. Di tepi chalet ni ada anak sungai, sesuai untuk bawa anak-anak mandi-manda

Kawasan Chalet yang lapang sesuai untuk buat Hari Keluarga

Sebenarnya aku ni bukanlah pakar sangat nak menyediakan umpan kat kolam-kolam bayar ni, aku main taram je. Oleh sebab pengalaman pun kurang maka aku gunakan umpan yang selalu aku guna untuk memancing lombong je. Dedak Bomb, Tepung Gandum, Pallet Ikan dan Perasa Pandan. Kalau kat lombong, boleh menangis patin kalau tengok umpan aku nih!

Haa... tengok! Kan dah dapat sekor, tapi orang sebelah aku laaa... Habih la anak aku dah tanya apasal kita tak dapat-dapat lagi ni. Aku pun mula dah rasa macam nak kumpau je...

Takpe... mungkin rohu dan patin kolam ni tak lalu lagi depan umpan aku, ujar aku sambil menyedapkan hati sendirik...

Waahhh... rohu yang sihat!

Setelah minit demi minit, jam berganti jam... kebanyakan orang sebelah aku yang banyak menaikkan patin dan rohu. Aku kenen-kenen la jugak umpan yang diorang pakai. Ada roti bun, ada pakai roti sandwich yang dipotong dadu lalu dicampur dengan perisa strawbery...

Ada la satu strike yang anak aku dapat... wah, patin tu! Dalam aku dok sibuk nak pegi tangguk dah terlucut. Rupanya mata kail tak tertancap kukuh kat mulut patin tu. Bila sampai ke tebing tali dah kendur, patin tu meronta je terus tanggal mata kail... sudah tu anak aku marah sebab lambat tangguk, ye laaa... masa dia tengah fight tu kan aku ambil gambar, camana nak tangguk... 

Aku? Hahahahaaaaaa.... hahahahaaa (tawa dalam kumpau)

Dapat la ikan ni sekor, tu pun aku korek cacing belakang pondok mancing ni. Walaupun kecik tapi memberikan perlawanan yang mendebarkan (ayat sedapkan hati)... Ikan ni aku tak sampai hati nak bawak balik dan aku lepaskan semula untuk pertarungan masa hadapan... ceewah!
Memancing kolam ni bukan sekadar skil, rezeki dan pengalaman je memainkan peranan penting. Persembahan umpan juga perlu diambil kira. Sebab aku tengok umpan pemancing lain dah macam-macam ramuan yang diorang letak. Tu sebab bila aku tunjuk umpan aku, diorang cakap umpan macam ni dah ketinggalan dah... sekarang ni banyak campuran seperti buah perah, pisang, strawbery dan macam-macam lagi lalu digaulkan menjadi umpan power yang mampu membawa pulang tangkapan yang banyak

Umpan roti yang dipotong dadu dan digaulkan dengan perisa strawbery. Jangankan ikan, aku sendiri pun terliur bila tengok...

Papan tanda masuk ke kolam tu

Hari pun dah semakin petang dan hujan pulak macam nak turun je... aku kemaskan barang dan tamatkan sesi pancingan aku dengan bergaya... anak aku tak puas hati je pasal patin tadi, habih la dia pot pet pot pet dalam kereta nanti... hihihihi... lain kali ripit lagi!

SEDIKIT INFO:
1. Kawasan seluas 23 ekar ini mempunyai 4 kolam untuk diduga di samping beberapa buah chalet untuk kemudahan pemancing menginap di sini
2. Waktu operasi dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi pada hari Isnin hingga Khamis, manakala Jumaat hingga Ahad dibuka 24 jam dengan kadar RM30 (deposit) untuk 3 jam memancing
3. Bagi yang biasa mengunjungi Empangan Batu dan kawasan perkelahan Ulu Yam cuma jalan terus dari kawasan perkelahan tersebut hingga melalui Zon Perindustrian Perabot Hulu Yam lebih kurang 15 minit dari kawasan perkelahan Rock Resort dan sebagainya. Perlu sedikit perhatian kerana banyak selekoh tajam jika melalui kawasan ini. Manakala dari arah utara akan melalui jalan lama dari Batang Kali cuma perlu masuk persimpangan ke Ulu Yam di sebelah kiri dan pandu terus lebih kurang 20 minit akan sampai ke kolam ini di sebelah kiri jalan

Isnin, 18 November 2013

Jumpa kawan lama... di SINGAPURA!

Atas urusan kerja maka berangkatlah aku ke luar negara selama lima hari, bukannya jauh pun... di Singapura saja. Apa yang menariknya di sana aku berjumpa dengan kawan lama yang sama-sama dulu bergelumang dengan dunia penerbitan dan perkartunan. Syukur alhamdulillah, aku kenal dia melalui tandatangan pada karikatur yang dilukisnya. Bila kompom itu Kartunis Padi, barulah aku tegur dia... 

 Mula-mula cuak jugak, kang tegur tersalah orang mahu satu Singapore gelakkan aku... malu aku wehhh! 

Sambil melukis tu sempat la jugak bersembang tanya itu dan ini. Aku pun salah seorang peminat kartun dia dulu... yang aku tak boleh lupa Lawak Pijak-Pijak dia tu (sila rujuk Majalah Apo? yang lama-lama). Boleh tergelak bila baca balik kartun-kartun dia nih, masa dia tengah lukis karikatur pun aku dah start gelak... mungkin jiwa kekartunan aku masih ada walaupun aku dah lama meninggal (meninggalkan) bidang ni...

Orangnya kelakar, minat memancing dan tak sombong walau di mana dia berada. Dulu kecik je, sekarang dah debab sikit (sori Padi) heheeee... 

Sekurangnya-kurangnya ada la kenangan aku di Singapore ni. Jumpa kawan lama yang 'baru' katanya... lama dah kenal, tapi baru berjumpa. Kepada Kartunis Padi dan semua kawan-kawan yang masih bergelar kartunis, diucapkan selamat maju jaya dalam bidang ini...


Jika ada apa-apa tempahan untuk majlis dan sebagainya, silalah contact beliau seperti di atas...

Khamis, 7 November 2013

2 Hari 1 Malam - Perkhemahan Kelab Rekreasi Keluarga (LATA PERTING @ BENTONG, PAHANG)

Berkhemah di Lata Perting, Bentong pada 26 - 27 Oktober 2013 yang lalu menghimpunkan 5 keluarga dari Kelab Rekreasi Keluarga selama 2 hari 1 malam. Selepas segala keperluan disiapkan maka bermulalah sebuah perkhemahan keluarga yang ekstravaganza untuk kami kongsikan buat pembaca semua... (maaf, update kali ni ceritanya panjang sikit, kalau malas baca, layan gambar je la...)

HARI PERTAMA

 Bertolak dari rumah jam 7.30 pagi, Lebuhraya Karak masih dinaungi kabus yang menyegarkan paru-paru... kat Zimbabwe pun keadaannya tak seperti di Malaysia ni, bersyukurnya jadi orang Malaysia

 Alangkah indahnya dapat menghirup udara segar...

 Haa... dah tak jauh dah, kejap-kejap anak aku tanya bila nak sampai... agaknya dah excited sangat nak tidur dalam hutan

 Kabus masih menemani perjalanan kami

 Dah nak sampai dah

 Dari simpang ni masuk ke kanan lebih kurang 1km akan sampai ke tapak perkhemahan. Jika naik ke atas sikit dari simpang ni akan terus ke Lata Hammer yang popular tu (Sila Google Lata Hammer untuk maklumat)

Meninjau tapak khemah dan memunggah barang-barang, betul-betul tepi hutan...

 Si adik dan abang sedang pam tilam angin

 Haaa... angin dah penuh, tidur pakai tilam la malam ni. Badan pun tak sakit sangat

 Khemah siap didirikan beserta dengan khemah untuk dapur

Bila dah nampak air, bebudak apa lagi... berendam la

Mandi sakan, tak sejuk ke?

Ewah... ewah... bebasnya hidup...

Bagai tiada apa yang boleh menghalangnya

Mandi tetap mandi, nama pun pergi berkelah ye tak...

Jeram di pinggir hutan, air sejuk giler...


Matahari dah meninggi...

Mereka masih mandi lagi...

Riang ria menghayati keindahan alam anugerah Ilahi

Selepas mandi, organizer (Sdra Hanafi) mintak pindah tapak sebab tapak khemah yang kitorang lepak ni agak sempit sikit. Lagipun ada 3 family lagi yang sedang dalam perjalanan ke sini... berkhemas semula dan naik ke atas sikit sebab tapak khemah yang kedua ni bertanah rata dan luas

Bergambar di belakang jeram di tapak khemah yang kedua

Khemah dah siap pasang... semua pun dah sampai

Ada wakaf, boleh jadikan dapur. Kena pasang ganerator sebab tiada lampu jalan di sini

Menikmati makan tengahari

Masing-masing berkongsi bawa makanan dan minuman, hidangan tu jadi mewah sikit. Ada ayam goreng...

Ada sotong dan cencaru bakar...

Macam-macam ada...

Lepas main air, perut pun lapar... masing-masing cari nasik

Bergotong royong menyiapkan hidangan

Layan nasik tepi jeram... betul-betul punya kusyuk... santai habis

Hari dah hampir penghujung petang... petang tu hujan turun tapi tak berapa lebat

Menyediakan makan malam. Ramainya tukang masak... ada gerai burger...

Ada gerai ayam madu...

ada gerai sosej...

Ramailah yang menolongnya...

Bergotong royong juga menyediakan hidangan malam...

Lepas makan, menonton movie pulak... walaupun skrin kecik, tapi semua sporting. Tengok movie apa aku pun tak tahu...

Selamat malam... tamat hari pertama...

AKTIVITI SAMPINGAN

 Memancing kat jeram ni berpotensilah jugak. Seronok melayan anak-anak tengas selebar 2 - 3 jari berumpankan roti. Dengan menggunakan rod halus aku meredah jeram ke bawah...

Dapat sekor hihihihiii....

 Hahahaaa... gembiranya hati aku, anak-anak tengas ni kuat melawan jugak tak padan kecik, aku gunakan tali sehalus 4 paun melayan tengas kat sini

 Memancing di celah-celah batu, ada juga sambaran yang tak berjaya dinaikkan. Tengas besar la kot sebab perambut putus... (asal putus je mesti ikannya besar)

 Jadilah buat hilang gigil...

 Umpan roti Gardenia je tengas ni nak makan, roti jenama lain tak layan. Double standard betul laaa...

 Tengas sebesar ni layan dengan tali dan rod halus memang syioklah...

 Tengas terbesar yang aku dapat... yang lain semua lucut...

Aku tamatkan aktiviti memancing aku dengan dendam kesumat bila ripit lagi kat sini aku akan sediakan umpan cacing dan cengkerik. Aku nak cari balik gerangan tengas besar manakah yang banyak membuli aku kat sini... aku akan isi tali 10 paun! (Ayat tak puas hati)

AKTIVITI MALAM





 Entah apa budak-budak ni tulis aku pun tak tahu... hentam je laaa....





AKTIVITI JERAM (MENYUSUN BATU)











JERAM - LATA PERTING (SLOW SHUTTER)





HARI KEDUA (TERAKHIR)
 Pagi yang ceria. Sejuknyaaaa... 

 Selepas semua selesai solat Subuh, acara menyediakan sarapan pagi pun bermula...

 Menunya nasi goreng, makan apa-apa pun kat tengah hutan ni semuanya sedap

 Aik, berbungkus lagi? Penat semalam seharian bermain air...

 Acara bergotong royong membasuh pinggan

 Menyediakan daging bakar... segar dari ladang

 Nyam... nyam...

 Sarapan pagi... burger special

 Burger buatan sendiri ni mewah sikit, bawang lebih, salad lebih, mayonis lebih... semua lebihlah...

 Dah siap. Sedap hingga menjilat siku... Presiden Amerika pun pasti tak boleh tahan tengok burger ni

 Jemput makan semua... panas-panas lagi

 Kreatif tak? Penyepit baju dari sumber alam

 Lepas sarapan semua pakat main air... sampai kecut serba-serbi!

 Jeram kat sini oklah, ada tempat untuk budak-budak mandi sebab tak berapa dalam.
Mak budak pun enjoy jugak

 Budak-budak lagilah enjoy... lupa sekejap kerja sekolah

 Sedang menikmati keindahan alam ke bang?


 Yihaaaaaa....

 Yeeeyyyyyyy....

 Toing!


 Amboi... kuatnya karate batu!

 Lepas karate nak kena kopak pulak

 Berkemas untuk pulang selepas makan tengahari...

 Membersihkan kembali kawasan tapak perkhemahan... jagalah kebersihan walau di mana kita berada

 Mana Kumar Rajendran? Siapa Kumar Rajendran? Aku pun tak tahuuuuuuu... (ikut lagu Wings)

 Bergambar kenangan sebelum berangkat pulang...

babai... jumpa lagi di perkhemahan akan datang!

Terima kasih Keluarga Hanafi, Keluarga Zahonizan, Keluarga Sanawi dan Keluarga Wan Jazlan! Semua bestlah!

Bagaimana ke sini? Dari KL terus masuk Karak Highway hingga ke Tol Bentong. Selepas tol masuk simpang sebelah kiri dan pandu terus hingga nampak satu lagi persimpangan. Simpang kanan akan ke Kuala Lipis atau Gua Musang (jalan lama), Jadi ambik simpang kiri (ke Janda Baik) dan pandu terus hingga nampak satu simpang kanan ke Perting Valley Training Resort, jika naik ke atas lagi akan terus ke Lata Hammer. (Perkhemahan kami sebelum ke Lata Hammer)

Ada sedikit info kalau nak berkhemah/berkelah di sini:
1. Bawa generator jika ada sebab seluruh kawasan tiada apa-apa lampu jalan kecuali cahaya bulan 
2. Pergi beramai-ramai, kawasannya agak terpencil dan sunyi
3. Jika datang pada musim hujan, lihat tanda-tanda kepala air
4. Awasi kawasan khemah, sebab ada anjing liar. jangan buang sisa makanan ke dalam belukar