Jumaat, 4 Julai 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 09) - SELAMAT TINGGAL TANAH SUCI

Hari Jumaat - Hari ini adalah hari terakhir kami di Mekah. Sampai masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Kota Mekah. Sebelum berangkat pulang, kami akan melakukan Tawaf Wida' atau Tawaf Selamat Tinggal. Kami bertawaf selepas solat Subuh memandangkan bas akan mengambil kami pada pukul 9.00 pagi untuk menuju ke Jeddah. Nampaknya tak sempatlah kami nak bersolat Jumaat di Mekah. Perjalanan dari Mekah ke Jeddah lebih kurang 2 jam. Penerbangan kami dari Jeddah ke Abu Dhabi pada pukul 4.30 petang. Kalau ikutkan banyak masa lagi, tapi memandangkan urusan Imigresen di Jeddah nanti yang mungkin mengambil masa yang lama, eloklah berangkat awal. Kami akan bersolat Jumaat di Airport Jeddah sahaja. 

Selepas selesai melakukan Tawaf Wida' dan mengambil beg, masing-masing berkumpul di lobi untuk urusan check out dan taklimat akhir oleh Ustaz Kusyairy. Selepas Tawaf Wida' kami diingatkan supaya segera bersiap dan tidak mengambil gambar lagi. Maksudnya selepas Tawaf Wida', tak boleh melakukan urusan lain... Sedihnya hati nak meninggalkan Kota Mekah. Bas meluncur laju meninggalkan Kota Suci ini... dari jauh sayup-sayup menara Masjid Masjidil Haram hilang dari pandangan.

Dalam perjalanan ke Jeddah, kami berhenti rehat di Masjid Terapung. Masjid terapung itu atau nama lainnya Masjid Siti Rahmah. Letaknya di hujung Barat Laut Merah, Jeddah. Selain dari keindahan binaannya, keindahan lain masjid ini adalah kerana ianya terletak mengadap Laut Merah. Masjid ini berkeluasan sekitar 20 x 30 meter. Cuaca memang panas sangat, hampir 42 darjah celcius. Layan gambar kejap sekitar Masjid Terapung ni.

 Masjid Terapung dari jauh

Cuaca panas hari tu, sebutir awan pun takde

Menuju ke masjid

Masjid terapung dari dekat

Aku pun tak beria sangat nak ambil gambar, cuma tinjau-tinjau sekejap terus lari duduk kat pondok. Panas sangat sampai menyengat kepala. Serius cakap laa... aku memang tak tahan dengan cuaca panas macam ni. Dalam dok merungut tu terbayang jugak camana panas kat Padang Masyar nanti ya...

Pondok rehat. Sambil makan dan minum bekalan yang dibungkuskan oleh pihak Felda Travel. Time ni pukul 11 pagi, bestnya makan di tepi Laut Merah...

Makan-makan sambil berborak. Time ni memasing dah tak sabar dah nak balik Malaysia

Ada orang berjualan di sekitar kawasan masjid ni. Selamba je dok tengah panas

Yang hijau tu kurma muda. Rasanya pahit-pahit kelat sikit. Baik untuk mengubati kencing manis dan darah tinggi. Boleh tahan mahal jugak dijual

"Bakso bang! Bakso bang!"
Terkejut aku, ada jual bakso jugak!

 Bergambar kenangan dengan Ustaz Samsul - Mutawwif Felda Travel

Selepas berehat lebih kurang, kami berangkat ke Jeddah. Sampai di Jeddah urusan bagasi diuruskan oleh petugas yang dilantik. Semua berjalan lancar tak seperti masa mula-mula sampai hari tu. Selepas bersolat Jumaat di sini kami mula check in dan akan menaiki pesawat ke Abu Dhabi jam 4.30 petang. Syukur kepada Allah SWT kerana memudahkan segala urusan pergi dan balik, sihat tubuh badan walaupun mengalami demam dan batuk namun kami masih diberi kudrat untuk berjalan dan melakukan ibadat di Tanah Suci ini...

Kapal terbang sedang menunggu

Masing-masing dah kepenatan

Tepat 4.30 petang kami mula memasuki pesawat untuk berlepas ke Abu Dhabi. Sampai di Abu Dhabi jam 8.30 malam. Transit 6 jam di Abu Dhabi kerana pesawat seterusnya ke Kuala Lumpur jam 2.30 pagi. Amacam? Lama tak? Tapi kebanyakan jemaah aku tak kisah sangat pun. Masa panjang yang ada ni kami gunakan sebaiknya untuk berehat dan bersolat. Aku yang tidur-tidur ayam kononnya, hampir jugak terlelap. Nasib baik pakcik sebelah yang kejutkan...

Di Lapangan Terbang Abu Dhabi

Alhamdulillah... sampai di KLIA jam 2.30 petang selepas melalui penerbangan yang panjang. Sampai di KLIA Ustaz Azizi, Haji Rizal dan Syira (Staf Umrah/Haji Felda Travel) dah menunggu aku. Sempat lagi mengopi kat Pelita Nasi Kandar sebelum sampai ke office. Nikmatnya dapat minum Nescafe O ais dengan roti canai kari mamak. Dua keping aku bedal... hahahahaaa... kebetulan perut tengah lapar...

Sampai sekarang aku masih teringat-ingat lagi Tanah Suci ni. Insyaallah... jika dikurniakan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki aku pasti ke sana lagi. Terima kasih kepada Pihak Pengurusan Felda Travel yang memberi kepercayaan kepada aku untuk menguruskan jemaah Umrah pada bulan Mei yang lalu. Kepada jemaah yang terbaca blog aku ni aku ingin memohon maaf jika ada kesilapan, kekurangan dan terlanjur kata sepanjang kita berada di sana. Jika ada umur panjang kita akan berjumpa lagi...

Selamat Tinggal Masjid Nabawi

Selamat Tinggal Mekah Almukarramah...

Insyaallah... aku akan datang lagi bermunajat di Bumi Sucimu...