Isnin, 9 Jun 2014

Balada Orang Berdosa (Umrah Part 02) - RAUDHAH & MAKAM NABI SAW

Selepas berjalan jauh hingga ke penghujung masjid, jumpa jugak dengan Raudhah yang selalu diimpi-impikan oleh kebanyakan jemaah seperti aku ini.

Tiada yang istimewa bagi permaidani berwarna kelabu kehijauan ini jika hendak dibandingkan dengan permaidani-permaidani lain yang jauh lebih cantik di seluruh dunia. Tapi jika permaidani ini bernyawa, pasti dia berasa sungguh beruntung dari sekalian permaidani yang ada di muka bumi ini kerana letaknya di dalam Masjid Nabawi.

Dari cerita yang aku dengar, bukan senang nak masuk ke Raudhah ni, orang ramai dan bersesak-sesak untuk masuk ke sana. Tapi malam tu mudah pulak aku masuk walaupun orang agak ramai, aku terus melangkah menuju saf yang masih kosong dan solat sunat sambil berdoa di dalamnya. Perasaanku ketika ini amat sayu kerana aku bersyukur kepada Allah SWT yang memudahkan segala urusanku dari awal perjalanan hingga ke saat ini. Peluang yang ada di Raudhah ni aku gunakan sebaik-baiknya, berdoa untuk kesejahteraan kedua orang tuaku, isteri, anak-anak, sehabat handai, saudara mara malah seluruh umat Islam agar diampunkan segala dosa-dosa yang lalu.

Gambar pada hari pertama aku di Raudhah, Alhamdulillah... dapat masuk. Hari kedua pun dapat masuk jugak bersama jemaah yang aku bawa

Hari keempat pukul 2.30 pagi sebelum solat Subuh, orang dah ramai menunggu. Yang ni aku terpaksa mengalah. Dah berhimpit-himpit macam ni lebih baik aku keluar dan solat Subuh di luar Raudah

Di dalam masjid yang dinamakan Raudhah ini ditandai tiang-tiang putih dengan ornamen kaligrafi yang khas dan juga karpet warna hijau yang menutup lantainya. Warna karpet ini berbeza dengan warna karpet Masjid Nabawi yang semuanya berwarna merah.  Membentang dari rumah Rasulullah SAW (yang kini menjadi makam beliau) hingga ke mimbar. Luasnya sekitar 26 x 15 meter. (Jika salah mohon perbetulkan)

Raudhah

Mimbar di Raudhah

Alhamdulillah... selesai solat dan berdoa aku keluar untuk ke Makam Nabi SAW yang bersebelahan dengan Raudhah. Makam Rasulullah SAW ditempatkan di dalam sebuah kawasan yang mempunyai kubah berwarna hijau di dalam kawasan Raudhah. Di sisi makam Nabi SAW terdapat makam dua sahabat karib baginda iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA dan Khalifah Umar al-Khattab RA. Mereka adalah antara sahabat karib Nabi SAW dan juga khalifah umat Islam selepas kewafatan baginda. Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Nabi SAW ketika senang dan susah dan sentiasa mempercayai setiap kata-kata Nabi SAW di dalam apa juga keadaan.

Di depan Makam Nabi SAW

 Makam Nabi SAW dan sahabat baginda

Dapat jugak bergambar, mintak tolong jemaah Turki ambik gambar walaupun blur sikit

Tak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika ini, kerana aku berdiri di hadapan makam manusia agung yang dicintai Allah SWT dan seluruh umatnya. Peluang ini tidak aku lepaskan dengan berdoa atas kesejahteraan baginda dan para sahabat serta berselawat sebanyak mungkin. Walaupun bersesak dengan orang lain yang mempunyai niat yang sama seperti aku, namun tiap langkah yang aku lalui ke makam baginda terasa mudah dan lapang. Aku melangkah keluar dari masjid dengan perasaan indah dan berbunga di hati kerana dapat ke Raudhah dan Makam Nabi SAW. Masih terbau-bau lagi wanginya haruman di Masjid Nabi SAW ini...

Errrr... kat mana pulak aku letakkan selipar aku tadi? Hahahaa... ni la padahnya bila tak ingat nombor pintu masuk tadi...

Banyaknya selipar

Tadi masa mula-mula masuk selipar tak banyak macam ni


Sudahnya malam tu orang lain bertungkus lumus sembahyang dan berdoa, aku bertungkus lumus melilau cari selipar di Masjid Nabawi ini. Sambil mencari tu aku berdoa agar selipar aku dijumpai dengan selamatnya. Bukan apa, dah tengah malam ni kedai selipar dah tak bukak. Tak lama lepas tu, aku jumpa balik selipar aku tu. Elok je macam mula-mula aku letak tadi. Syukur...

Nombor pintu

Lain kali ambik gambar nombor pintu, senang nak ingat kat mana kita letak selipar kita... ada jugak jemaah lain yang aku tengok diorang letak selipar dalam plastik dan bawa masuk ke dalam. Bila semayang selipar tu diletakkan di depan atau di sebelah. Aku tak buat macam tu sebab tak biasa pulak...

Bersambung...